KEMAMAN - Seorang pekerja swasta maut setelah motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar besi pengadang jalan dalam kejadian di Kilometer 155 Jalan Jerangau - Jabor berhampiran Bandar Baru Cheneh, pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Shuzairie Johari, 22, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, semasa kejadian, mangsa yang beralamat di Kampung Tempinis, Jerteh, Besut menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Jabor ke Jerangau.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian dipercayai kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar pengadang jalan sebelah kiri.

“Berikutan itu mangsa tercampak ke atas jalan sejauh beberapa meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Lokasi kejadian adalah satu laluan lurus berdekatan dengan sebuah jambatan. Ketika kejadian cuaca cerah dan keadaan trafik tidak sibuk,” katanya.

Mohd Said berkata, semasa kejadian berlaku mangsa menunggang motosikal bersendirian.

"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan urusan pengebumian," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.