MARANG - Lebih 10 keluarga dalam Dun Pengkalan Berangan dikesan masih lagi menggunakan air telaga yang digali berhampiran rumah sebagai sumber bekalan air utama bagi kegunaan harian.

Malah ada dalam kalangan ketua keluarga terbabit tinggal dalam keadaan serba kekurangan di rumah usang dengan keadaan kesihatan yang tidak menentu.

Perkara itu didedahkan Adun Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong selepas membuat lawatan ke rumah penduduk terlibat sejurus mendapat aduan mengenai kesukaran yang dihadapi mereka.

“Salah seorang daripada mereka ialah Ismail Muhammad dari Wakaf Tapai yang masih menggunakan telaga untuk mendapatkan sumber air malah ketua keluarga itu hidup dalam keadaan serba kekurangan dan uzur.

“Keadaan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan keluarga Ismail apabila sumber air telaga itu turut digunakan untuk memasak dan sebagai minuman selain kegunaan harian lain,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kesukaran Ismail sekeluarga yang menghadapi masalah bekalan air bersih itu akan berakhir kerana tindakan susulan akan dilakukan segera bagi memastikan mereka hidup lebih selesa.

“Harap selepas ini, tiada lagi penggunaan air telaga yang menjadi sumber utama keluarga Ismail dan dia juga layak untuk mendapat bantuan rumah baru memandangkan keadaan rumahnya yang agak uzur.

“Kita juga bercadang menyediakan kemudahan jalan baru untuk ke rumahnya. Insya-ALLAH, kita sama-sama doakan supaya semuanya dipermudahkan,” katanya.

Sulaiman berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan segera masalah bekalan air bersih bagi keluarga lain dalam tempoh terdekat supaya tiada lagi penduduk menggunakan air telaga.

Katanya, pihaknya akan berusaha sedaya upaya dalam memastikan kehidupan penduduk di kawasan Dun Pengkalan Berangan tidak terpinggir seterusnya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik.