KUALA TERENGGANU – Pembinaan Projek Kuala Terengganu Bypass yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan mungkin terpaksa dilanjutkan tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi berikutan masalah pengambilan tanah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, kerajaan akan berunding dengan 21 pemilik lot kedai dan perumahan di Kampung Durian Burung yang terlibat dengan projek berkenaan bagi memastikan projek dapat diteruskan.

Menurutnya, sebarang kelewatan akan menyebabkan peningkatan kos dan oleh itu beliau berharap rakyat dapat memberi kerjasama kepada kerajaan dengan melakukan ‘pengorbanan’ bagi kemajuan infrastruktur dan prasarana negeri ini.

“Mereka tidak mahu pindah kerana pampasan, kita akan teruskan rundingan..kita faham  dan kita kena yakinkan mereka betul-betul

“Kita minta kerajaan negeri turut serta dalam perbincangan (rundingan) ini supaya projek ini tidak terganggu, tidak delay (kelewatan)..jika delay, ia akan melibatkan kewangan dan ini akan merugikan kerajaan pusat dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Kuala Terengganu Bypass di Kampung Wakaf Beruas, di sini hari ini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh.

Sebanyak 191 lot tanah terlibat dalam projek pembinaan jalan tersebut dan sehingga kini 171 lot tanah sudah dibayar pampasan dengan kos sebanyak RM116 juta.

Projek Kuala Terengganu Bypass dengan kos kesleuruhan sebanyak  RM321.9 juta telah dimulakan pada 27 Julai 2016 dan tarikh siap asal dijangka pada Januari 2019 dengan status kemajuan projek sehingga kini adalah sebanyak 70 peratus.

Mohd Anuar berkata, Kuala Terengganu Bypass dirancang untuk mengalir keluar kenderaan daripada memasuki bandaraya Kuala Terengganu dan mempercepatkan perjalanan dari utara ke selatan di samping menjadi komponen utama dalam Pembangunan Bandar Baharu Bukit Besar.

“Ini adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap keselesaan pemanduan penduduk bandaraya ini yang bertujuan mengurangkan kesesakan trafik seterusnya menjimatkan jarak dan masa perjalanan pengguna sehingga 30 minit,” katanya.

Antara skop projek ini adalah membina jalan baharu empat lorong sepanjang 5.875 kilometer dengan piawaian rekabentuk JKR, membina empat buah jambatan dengan panjang kesleuruhan sejauh 598 meter serta melibatkan skop menaiktaraf dan membina persimpangan di Simpang Tok Molor, Jalan Tok Adis dan Jalan FT03 di Kampung Durian Burung.

Pelaksanaan projek ini dapat memberi manfaat kepada 70,000 penduduk terutama di Bandar Baharu Bukit Besar.