KEMAMAN - Masalah limpahan jemaah di Masjid Mukim Binjai setiap kali solat Jumaat, selesai sepenuhnya setelah surau Institut Pengajian Islam (Inspi) di Kampung Binjai yang dinaiktarafkan menjadi masjid akan dibuka untuk solat Jumaat bermula 10 Februari ini.

Pegawai Agama Daerah Kemaman, Ahmad Azhar Harun@Musa berkata, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bersetuju menetapkan bangunan surau Inspi sebagai masjid, sekali gus membolehkan solat Jumaat diadakan di situ berdasarkan Seksyen 88 (1) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 (Pindaan) 2012.

Menurutnya, kebenaran mengguna pakai dan mendirikan solat Jumaat di Masjid Inspi yang terletak dalam Mukim Binjai itu dipersetujui dalam Mesyuarat Maidam kali ke-2/2016.

“Maidam juga bersetuju menetapkan persempadanan Masjid Inspi mengikut arah iaitu untuk sebelah utara, persempadanannya ialah Pasar Binjai dan simpang jalan ke Pangkalan Binjai.

“Sebelah selatan melibatkan Taman Alam Perdana diikuti sebelah timur, Kampung Olong dan sebelah barat pula Kampung Padang Lalang,” katanya, semalam.

Mengulas lanjut, kata Ahmad Azhar, Maidam juga menetapkan Kampung Olong, Kampung Padang Lalang, Kampung Paman, sebahagian dari Kampung Batu 5, sebahagian Kampung Pangkalan Binjai, Taman Perumahan Alam Perdana Fasa 1 dan 2 serta penempatan sekitar adalah termasuk dalam mukim masjid berkenaan.

“Permulaan menunaikan solat Jumaat di Masjid Inspi pada Jumaat ini iaitu 10 Februari bersamaan 13 Jamadilawal 1438 Hijrah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau harap semua yang terlibat dalam mengimarahkan masjid itu dapat menjalankan tugas pengimarahan dengan sebaiknya bagi mendapatkan keredaan ALLAH SWT.

Masalah limpahan jemaah di Masjid Mukim Binjai hingga menyebabkan ada antara jemaah terpaksa mengerjakan solat Jumaat di tempat mengambil wuduk dan atas rumput pernah disiarkan Sinar Harian pada 18 Mac 2014.

Situasi itu berlaku disebabkan Masjid Mukim Binjai sudah tidak mampu menampung pertambahan jemaah yang ramai susulan kawasan itu pesat membangun dengan banyak kawasan perumahan dan kediaman persendirian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR GAJAH - Lebih 3O jemaah Masjid Raudhatul Solehin Ayer Limau mengadakan bantahan secara aman kerana mendakwa pemilihan beberapa jawatankuasa baharu masjid berkenaan tidak telus.
  • LABIS - Masjid Labis melakar sejarah tersendiri apabila menjadi masjid pertama di daerah ini menerima Sijil Sistem Persekitaran Berkualiti (5S) daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), baru-baru ini.