BESUT - Masalah jambatan sempit yang dihadapi  penduduk Kampung Durian Telur, di sini,  bakal selesai  apabila pembinaan jambatan baharu siap dijangka dua tahun lagi.

Kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengeluarkan tender kepada sebuah syarikat pembinaan berwibawa dari Johor yang akan menggantikan jambatan belley sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad berkata, pembinaan jambatan baharu  bernilai RM20.5 juta akan bermula bulan ini dan dijangka siap tahun 2020.

Menurutnya, kedudukan jambatan ini adalah sejauh  50 kilometer dari jambatan besi sedia ada yang terletak di Kampung Pasir Akar.

“Jambatan baru ini sepanjang 140 meter dan lebar 7.5 meter yang membolehkan kenderaan besar dan lebar dapat melaluinya berbanding hanya sebuah kereta dapat dilalui melalui jambatan lama yang dibina tahun 1992,” katanya.

Beliau yang juga Adun Hulu Besut berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Jambatan Durian Telur, di sini.

Hadir sama Jurutera JKR Daerah Besut, Ir Mohamad Alwi Mat Zin dan Pengarah Urusan Innorven Sdn Bhd, Datuk Abdul Rahim Talib.

Nawi berkata, pembinaan jambatan belley kira-kira 26 tahun lalu  sesuai dengan keperluan penduduk ketika itu bagi memudahkan mereka menyeberangi Sungai Besut untuk ke Pasir Akar atau tempat lain berbanding hanya menggunakan perahu sebelum itu.

“Ketika itu penduduk tidak memiliki kenderaan seperti hari ini apabila sekarang boleh dikatakan setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah kereta.

“Berikutan pertambahan penduduk dan juga kenderaan menyebabkan penduduk memerlukan jambatan lebih besar sejak sepuluh tahun kebelakangan ini,” katanya,

Katanya, pembinaan jambatan ini amat bertepatan dalam usaha menjadikan Pasir Akar sebagai pusat pertumbuhan baharu bagi Hulu Besut apabila penduduk kawasan itu dijangka akan meningkat dengan projek perumahan.

Nawi memberitahu, jambatan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk Pasir Akar dan Kampung Durian Telur malah diguna pengguna jalan raya lain untuk keluar ke jalan alternatif Padang Tapong-Lata Tembakah.

Sinar Harian sebelum ini pernah  menyiarkan  laporan tentang permintaan penduduk Kampung Durian Telur yang meminta kerajaan meluluskan pembinaan jambatan yang lebih besar.