KUALA TERENGGANU - Masalah kawasan penanaman padi yang ditenggelami air sejak beberapa tahun lalu yang membelenggu pesawah di beberapa kampung di sini akan berakhir, dengan pembinaan culvert (pembetung) tambahan di Gong Baru.

Pembinaan pembetung itu sekali gus melegakan kira-kira 30 pesawah di Kampung Tok Adis, Kampung Kolam dan Kampung Banggol yang berdepan masalah tersebut sejak dua ke tiga tahun lalu.

Pengerusi Penyelaras Dun Batu Burok, Zamri Awang Hitam berkata, kawasan tersebut sudah mempunyai tiga pembetung tetapi ia tidak memadai kerana masalah takungan air itu berlarutan.

Antara kawasan yang ditenggelami air kerana limpahan air.

 “Sekarang ini pesawah mula nak tanam padi tetapi air terlalu banyak. Kalau musim padi masak, air masuk hingga tenggelam. Ia menyukarkan pesawah untuk menanam padi.

“Sebelum ini, Jabatan Pertanian akan bayar ganti rugi kepada pesawah terlibat. Tetapi kita lihat ia tidak akan menyelesaikan masalah. Sebab itu kena buat pembetung untuk mengatasi masalah ini.

“Saya sudah tinjau kawasan itu bersama pegawai dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Hasilnya, pihak MBKT sendiri yang akan membuat pembetung ini di dua tempat, yang setiap satunya sepanjang 15 kaki dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, anggaran kos bagi kerja-kerja pembinaan itu dijangka antara RM30,000 ke RM40,000 kerana turut melibatkan laluan bertar di kawasan itu.

“Kos pembinaan pembetung ini hanya kira-kira RM20,000 tetapi memandangkan melibatkan kerja-kerja mengorek jalan, ia memakan kos tambahan dan perlu disiapkan dalam tempoh sehari,” katanya.

Katanya, beliau mengharapkan masalah itu dapat diselesaikan segera dan turut berterima kasih kepada MBKT yang membantu bagi mengatasi masalah pesawah kawasan berkenaan.