KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu akan mempertingkatkan kerjasama dalam rondaan di perairan negara, bagi membanteras pencerobohan dan penyeludupan barang terlarang.

Kerjasama itu adalah selaras dengan konsep NBOS atau Strategi Lautan Biru Kebangsaan, yang mendatangkan banyak kebaikan kepada negeri dan negara secara keseluruhannya.

Pengarah Daerah Maritim 9 Terengganu (DM9), Kapten Maritim Zainolabidin Jusoh berkata, Ops Martam 1/2017 yang diadakan di perairan Pulau Kapas, Marang, kelmarin adalah perintis kepada kerjasama yang lebih erat selepas ini.

Pihak Maritim dan kastam memeriksa salah satu bot yang ditahan.

“Sebelum ini kerjasama antara Maritim dan agensi penguat kuasa lain pernah diadakan sebelum ini, tetapi secara khusus antara Maritim dan JKDM, ini adalah kali pertama. Saya melihat operasi kali ini berjaya dan mencapai matlamat.

“Operasi khas ini melibatkan kekuatan 50 pegawai dan anggota, yang mana 20 orang dari Maritim, 18 dari JKDM dan 12 wakil media. Dalam tempoh yang singkat, kita berjaya menahan dua buah bot, yang mana salah satunya disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

Operasi khas itu bermula dari jam 8 pagi dan berakhir kira-kira jam lima petang di perairan Pulau Kapas, disusuli dengan majlis berbuka puasa dan solat berjemaah.

Bot pertama ditahan pada jam 1.45 tengah hari, kerana menangkap ikan kurang daripada lapan batu nautika dari Pulau Kapas.

“Bot kelas C sepatutnya menangkap ikan di kawasan melebihi 12 batu nautika. Kita telah menahan bot itu bersama empat awak-awak dan tekong, berusia antara 20-30 tahun. Ia adalah bot nelayan tempatan tetapi menggunakan krew Thailand yang mempunyai permit.

“Mereka semua akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di zon yang tidak dibenarkan. Kita juga akan lihat kemungkinan kesalahan lain yang mereka lakukan,” katanya.

Bot kedua yang ditahan ialah bot nelayan tempatan kelas B, iaitu kira-kira tiga kilometer berhampiran Pulau Kapas pada jam 4.45 petang.

Bagaimanapun, bot berserta empat krew yang berusia 20 hingga 50 tahun itu mempunyai dokumen yang lengkap.

JKDM fokus cegah kemasukan barangan terlarang

JKDM Terengganu serius dalam mengawal dan membuat penguatkuasaan di kawasan perairan negara, bagi mencegah kemasukan barangan terlarang ke negeri ini.

Pengarahnya, Aidid Tajuddin berkata, kerjasama dengan Maritim adalah langkah ke depan dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan barang belum lulus kastam menerusi laluan laut.

“Kita akan meningkatkan operasi di laut dengan menggunakan konsep NBOS ini dengan melakukan pemeriksaan ke atas bot mahupun kapal yang disyaki membawa barang-barang terlarang.

Maritim dan kastam memeriksa bot pertama yang ditahan.

“Walaupun setakat ini tiada kes penyeludupan dikesan, kita tidak menolak kemungkinan penyeludup ini mempunyai pelbagai cara melakukan kegiatan mereka,” katanya.

Jelasnya, tumpuan juga diberikan kepada pengusaha teksi air di kawasan pelantar minyak, khususnya di daerah Kemaman yang berkemungkinan memberi peluang pengusahanya berjumpa dengan kapal dagang dan membawa masuk barang yang dilarang.

Pihak JKDM juga turut melakukan risikan dan penyamaran untuk dapatkan gambaran jelas modus operandi yang digunakan penyeludup.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PULAU TIOMAN - Seorang pegawai Maritim Malaysia disahkan meninggal dunia selepas pengsan di atas KM Sebatik ketika melakukan rondaan di perairan Pulau Tioman, pagi tadi.
  • KUALA TERENGGANU - Sebuah kapal tangki berisi muatan minyak diesel ditahan Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati berada di dalam keadaan mencurigakan, di sini, pagi, semalam.
  • KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Wilayah Timur berjaya menyelamatkan sebuah bot fiber yang dinaiki tiga pemancing selepas mengalami kerosakan lebih kurang empat batu nautika dari Kuala Penor.
  • KOTA KINABALU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan empat buah pump bot disyaki digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan berdekatan Teluk Karambunai, dekat sini, semalam.
  • ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 kerana dipercayai melanggar syarat lesen dengan memukat ikan kurang daripada lapan batu nautika dari pantai di Pulau Songsong dekat Yan, malam tadi.