JERTIH -  Semua 15 pelajar yang terlibat dalam insiden bot terbalik berdekatan Pulau Rhu kelmarin sedang mengikuti program luar kampus anjuran Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak) dengan kerjasama Umno Kelantan di Pulau Perhentian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka adalah antara 60 penuntut universiti  membabitkan pemimpin persatuan pelajar dari pelbagai universiti seluruh negara yang menyertai Program Himsak.

Menurutnya, sebelum ke Pulau Perhentian, mereka sudah mengikuti program yang diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) .

“Saya diminta oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk melawat mangsa di hospital kerana beliau bersidang di Parlimen hari ini (semalam) dan ketika program di UMK sebelum ini beliau sendiri hadir sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di wad Hospital Besut selepas melawat empat mangsa perempuan yang masih dirawat di situ semalam.

Asyraf  Wajdi berkata,  Pengerusi Himsak, Datuk  Mohd Faizal Daud yang juga ahli jawatankuasa Perhubungan Umno Negeri juga terbabit dalam kemalangan tersebut kerana beliau berada sama dalam bot yang terbalik itu.

Bagaimanapun Mohd Faizal tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar.

Beliau berkata, kepimpinan Umno Kelantan dan Malaysia bersimpati dan berdukacita dengan kejadian itu dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan tentang punca kejadian itu supaya kejadian sama tidak berulang selepas ini.

Dalam kejadian kira-kira 12.15 tengahari kelmarin, Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, penuntut Universiti Malaysia Sabah meninggal dunia  dipercayai akibat terperangkap di bawah bot terbalik.

Sementara sembilan lagi penumpang mengalami kecederaan namun empat lagi masih dirawat di Hospital Besut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :