DUNGUN - Mangsa terselamat dalam tragedi bot karam di Muara Sungai Dungun, Rabu lalu mengakui masih trauma dengan kejadian yang berlaku itu.

Mohd Shahrin Yacob, 33, berkata, dia rasa bercelaru dan ada kalanya timbul perasaan bersalah kerana sewaktu kejadian dia yang memandu bot fiber berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia hanya bertawakal dan berusaha hendak menyelamatkan diri.

"Saya berenang dua jam untuk sampai ke darat dan beritahu kawan tentang apa yang berlaku," katanya.

Menurutnya, di fikirannya masih terbayang saat bot dipukul ombak dan mereka semua berpaut pada bot.

"Ombak besar datang sekali lagi menyebabkan bot tenggelam.

"Lepas itu saya tengok abang kandung, Mohd Nazri Yacob, 37, dan rakan-rakan lain dah tak ada," katanya.

Mohd Shahrin berkata, selepas insiden itu dia akan berehat panjang sebelum kembali semula mencari rezeki di laut.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana tapi setakat ini saya perlu berehat dari pergi ke laut.

"Saya perlu tenangkan fikiran dan selepas itu baru buat keputusan," katanya.

Katanya, dia sedih memikirkan nasib tiga lagi rakan yang belum ditemui dan menaruh harapan agar semuanya berjaya ditemui.

"Saya harap mereka semua dapat dijumpai. Kalau dah tak ada pun sekurang-kurangnya ada tanda.

"Alhamdulillah jenazah abang saya dah disempurnakan dan berharap rakan lain juga ada kuburnya jika dah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, operasi mencari dan menyelamat sudah masuk hari kelima serta usaha mengesan tiga lagi mangsa masih gagal.

“Gerakan mencari dan menyelamat masih diteruskan.

“Jarak pencarian meliputi dari Kuala Dungun hingga Kuala Kerteh,”katanya.

Tiga lagi mangsa belum ditemui ialah Mohd Zawawi Mohamed, 27, Abdul Wahab Zakaria, 40, dan Che Mohd Afendi Ismail, 34.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan warganegara Laos hilang di laut setelah bot yang dinaikinya karam, 90 batu nautika dari Kuala Terengganu, semalam.
  • SANDAKAN - Seorang anggota Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan ditemukan lemas, manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam di kawasan perairan Kampung Tundun Bohangin, Kinabatangan petang semalam.
  • KEMAMAN - Seramai 24 nelayan nyaris maut selepas bot kelas C membawa sebanyak 15 tan metrik ikan yang dinaiki mereka karam di tengah laut dalam kejadian kira-kira 12 batu nautika dari Kuala Kemaman.
  • KOTA KINABALU - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong yang karam serta hilang di perairan Sabah, belum menemukan petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-34 hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.