KUALA TERENGGANU - Susulan hujan yang berterusan sejak Khamis lalu, enam daerah di negeri ini mula dilanda banjir, dengan jumlah mangsa mencecah sehingga 1,856 orang sehingga jam enam petang tadi.

Daerah yang terlibat adalah Hulu Terengganu, Dungun, Marang, Besut, Setiu dan Kuala Nerus, dengan kebanyakan mangsa mula berpindah ke pusat pemindahan malam semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 820 orang dan kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan di daerah berkenaan.

Jumlah mangsa di Setiu pula seramai 421 orang melibatkan 110 keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan.

Di Besut, terdapat 267 mangsa melibatkan 113 keluarga manakala 154 orang mangsa terlibat dari Dungun, 68 orang di Marang dan 126 orang di Kuala Nerus.

Sementara itu, berdasarkan laman sesawang Kenyataan Banjir Terengganu, paras sungai di dua stesen di negeri ini sudah melepasi paras bahaya.

Stesen yang terlibat ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang mencatatkan bacaan 21.73 meter (m), berbanding paras bahaya iaitu 21.50m dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu mencatatkan 19.90m (bahaya:19.70m).

Manakala beberapa stesen sudah melepasi paras amaran iaitu Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang mencatatkan bacaan 2.96m, Sungai Besut di Jambatan Keruak (34.19m), Sungai Besut di Kampung La (20.98m), Sungai Setiu di Kampung Besut (16.70m), Jambatan Permaisuri, Setiu (8.64m), Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (7.48m), Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (11.23m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman (17.86m).

Jabatan Meteorologi Malaysia pula dalam kenyataannya hari ini, mengeluarkan amaran cuaca (bahaya), iaitu hujan sangat lebat dijangka berterusan berlaku di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu sehingga Khamis ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).