BANDAR PERMAISURI - Bilangan pekebun nenas di negeri ini menunjukkan peningkatan seramai 123 orang berbanding 105 pada April lalu.

Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Terengganu, Imraan Fahmin Tajul Arifin berkata, pencapaian tersebut melebihi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mahu mewujudkan 40 hektar kawasan tanaman nenas menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, daripada 123 pekebun, 19 daripadanya adalah wanita dan pihaknya yakin industri tanaman tersebut mampu membantu meningkatkan ekonomi penduduk serta hasil di negeri itu.

“Peningkatan pekebun ini adalah hasil promosi berterusan yang dijalankan pihak kami  dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri di samping kesedaran pengusaha itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberi taklimat kepada peserta kursus Asas Teknologi Tanam Nanas yang berlangsung di Peladang Setiu Agro Resort di sini dan Pejabat LPNM Terengganu di Sungai Tong.

Seramai 52 peserta dari seluruh Terengganu menghadiri kursus selama tiga hari itu.

Imraan berkata, daerah Setiu kekal sebagai kawasan terbesar penanaman nenas di negeri ini diikuti Kemaman, Besut,  Hulu Terengganu, Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Menurutnya lagi, dengan peningkatan kawasan penanaman nenas ini sekaligus diharapkan dapat meningkatkan pengeluaran nenas bagi menampung keperluan rakyat.

“Nenas baka MD2 antara yang menarik ramai petani untuk mengusahakan tanaman ini kerana viariti ini mendapat permintaan tinggi selain harganya yang menarik.

“Selain variati tersebut nenas jenis Sarawak, N36 dan Morris turut ditanam secara meluas di negeri ini.” Katanya.

Imraan berkata lagi, jumlah pengeluaran nenas Terengganu akan meningkat berbanding 3,687.30 metrik tan dengan nilai pengeluaran RM4.98 juta pada tahun lepas dan menjadikan negeri ini antara penyumbang terbesar hasil tanaman nenas.