KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Golongan 'mak nyah' atau transgender yang berkeinginan mengubah hidup mereka kearah yang lebih positif akan dibantu oleh Kerajaan Terengganu mengikuti pelbagai bidang kemahiran yang diminati bagi mencari punca pendapatan yang tetap.

Exco Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata dengan langkah diharap dapat membantu golongan itu dari kembali terjerumus ke dalam kehidupan yang tidak bermoral.

Menurutnya, ini juga mampu menangkis tohmahan masyarakat yang sering menganggap golongan mak nyah atau transgender ini banyak terlibat dalam kegiatan negatif termasuk pelacuran dan penyalahgunaan dadah.

“Kumpulan ini akan dibawa menyertai satu kursus untuk memberi pendedahan dan kemahiran keusahawanan yang bersesuaian. Sekurang kurangnya 20 peserta akan menyertainya di peringkat pertama ini sebelum ianya diperluas.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri ini untuk membantu mereka menjadi modal insan berkualiti yang mampu memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri, masyarakat dan Negara,” katanya kepada media selepas Program Temu Murni bersama kira-kira 100 orang mak nyah dari kawasan Pantai Timur, di sini.

Dalam pada itu seorang daripada mak nyah yang kini telah bertaubat yang mahu dikenali sebagai Che Mat, 55, berkata, inisiatif kerajaan negeri dalam membantu golongan berkenaan amat dialu-alukan.

Menurutnya, ada di kalangan mereka mahu berubah dan meninggalkan kehidupan ‘hitam’ mereka namun tidak tahu saluran yang betul untuk memulakan kehidupan baru yang lebih positif.

“Program hari ini cukup menarik sebab YB sanggup mendengar lauhan rasa adik-adik (mak nyah)dari Terengganu.Saya rasa kerjasama antara golongan mak nyah dan agensi kerajaan lebih erat supaya mereka tidak dipingkirkan.

“Kita mahu bukan setakat bagi duit sahaja tapi pihak yang berkaitan kena pantau ‘rakan-rakan’ saya ini supaya apabila mereka berjaya kelak ia akan menjadi ikutan yang lain-lain,” katanya yang juga dikenali dengan panggilan Kak Jun dari Kuantan, Pahang semasa zaman gelapnya yang bermula selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).