MARANG - Ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini berminat membeli batu permata sebagai koleksi atau 'main batu', namun kebanyakan kurang ilmu sehingga menjadi mangsa penipuan.

Peniaga, Mohd Rafique Ali Juher, 43, berkata, jika tidak tahu selok-belok 'main batu', sesiapa sahaja berpotensi menjadi mangsa penipuan, orang biasa malah golongan kenamaan atau VIP.

“Biasanya mereka tertipu dengan permata sintetik, yang beli ‘kaca’ pun ramai juga, ada yang beli pada harga beribu-ribu tetapi setelah diperiksa, nilai batu permata itu hanya sekitar RM50 atau RM100.

"Oleh itu, kita mesti mendapat bantuan mereka yang mahir dalam mengenal nilai permata, jangan mudah tertipu sebab ramai peniaga permata tidak jujur,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Keluarga Ali Juher berkata, selain membeli permata sintetik atau palsu didakwa asli oleh peniaga, ada pengguna diperdaya dengan taktik yang lebih licik.

Menurutnya, taktik ini biasanya dilakukan peniaga tidak bertanggungjawab apabila mereka 'masak' permata asli bernilai rendah untuk menimbulkan urat pada permata agar menjadi lebih matang dan mahal.

"Bermacam cara digunakan untuk menjadikan permata asli bernilai rendah ini menjadi mahal. Selain dimasak banyak lagi cara digunakan namun biasanya peniaga ini berniaga secara bergerak, tidak tetap.

Bagi permata yang mempunyai sijil khas, harganya adalah tinggi namun keasliannya dijamin.

"Mereka tiada tempat tetap untuk menjalankan perniagaan sebaliknya sentiasa sahaja berpindah. Walaupun permata itu adalah asli tetapi pengguna tetap kena tipu kerana ia telah diubah," katanya.

Mohd Rafique berkata, disebabkan batu permata dibayar atas dasar persetujuan antara pembeli dan peniaga, tiada undang undang khas yang dapat memberi keadilan dalam kes-kes penipuan seperti ini.

Bagaimanapun katanya, penilaian ahli gemologi yang mengeluarkan sijil pengesahan atau 'surat beranak' tentang keaslian permata ini ia sedikit sebanyak dapat  membantu peniaga dan pembeli.

"Ramai peniaga batu permata sanggup mengeluarkan modal tambahan untuk mendapatkan surat beranak (sijil khas). Surat beranak ini akan membuatkan pelanggan lebih yakin untuk membeli permata itu.

"Bagi batu permata yang mempunyai surat beranak, harganya adalah tinggi namun keasliannya dijamin 100 peratus sekali gus pengguna akan berpuas hati kerana permata yang dibeli adalah asli," katanya.

Dalam pada itu, demi memastikan permata, zamrud, nilam dan pelbagai permata dijual kepada pelanggan benar-benar asli dan tulen, beliau sendiri sebelum ini kerap menjelajah ke luar negara.

Selain menjual kepada pelanggan, katanya, dia turut bertindak sebagai pembekal dan memasarkan permata kepada peniaga-peniaga lain namun dalam jumlah agak terhad kerana kekangan modal.

Bagi Mohd Rafique, beliau boleh dianggap mahir kerana telah didedahkan dengan kepakaran industri barang kemas khususnya batu permata sejak berusia 20 tahun lagi dan terus aktif sehingga hari ini.