KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak kurang upaya (OKU) dan seorang mengalami masalah jantung, terus menaruh harapan untuk tinggal di rumah sendiri setelah 27 tahun hidup menyewa di sekitar bandar raya ini walaupun sering mendapat khabar mengecewakan.

Tain Abdul, 71, berkata, pelbagai cara telah dilakukan termasuk membuat permohonan rumah, tanah rizab kerajaan dan macam-macam lagi usaha untuk mendapatkan sebuah rumah, namun sehingga kini masih belum berhasil.

Lebih dukacita apabila permohonan untuk memiliki rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran yang dibuat pada 2009 ditolak atas alasan yang mendakwa keluarga itu tidak mampu menjelaskan bayaran sewa di PPR terbabit.

“Sewa rumah kat rumah sini (Kampung Baharu Pulau Kambing) sebanyak RM170 sebulan tidak pernah tertunggak sehingga dua atau tiga bulan.

“Ada saja duit, saya terus bayar sewa rumah ini, macam mana mereka kata saya tak dapat nak bayar rumah PPR Hiliran,” persoal Tain yang terlalu mengharapkan bantuan sebuah rumah untuk keselesaan mereka sekeluarga.

Bercerita mengenai anak-anak, Tain yang bekerja sebagai tukang cat berkata, dia mempunyai lima orang anak bersama isteri, Ummi Kalsom Razali, 42, tetapi hanya empat yang dijaga kerana seorang lagi telah diberi kepada orang lain dan telah pun berumahtangga.

Empat anak yang masih tinggal bersamanya pula, tiga daripadanya OKU, iaitu Raziah, 18 (OKU pelbagai), Fatin Nabila, 16 (lembam) dan mereka berdua bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besar manakala seorang lagi, Muhammad Fairul Razzi, 9, tidak bersekolah kerana terlalu agresif.

Seorang lagi, Nur Ariana Alysa, 7, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran pula mengalami masalah jantung berlubang dan saluran sempit.

Kesemua mereka memerlukan tempat tinggal yang selesa malah dua daripadanya masih perlu menjalani rawatan susulan seperti Fairul dan Ariana.

Ditanya dari segi bantuan, Tain berkata, dua anaknya itu (Fairul dan Ariana) mendapat bantuan JKM masing-masing RM300 dan RM200 setiap bulan.

“Duit bantuan mereka itu pun tak cukup, lampin pakai buang Farul sahaja RM20 seminggu tidak termasuk susu dan biskut khas kerana dia (Farul) tidak dapat makan makanan keras selain susu dan biskut kerana masalah usus yang tidak dapat menerima makanan keras.

“Setahun sekali Fairul perlu mendapatkan pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan, manakala Ariana perlu menjalani pembedahan jantung kali kedua pada bulan Mac ini dan memerlukan pemeriksaan enam bulan sekali di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

“Kalau nak bawa mereka ke hospital, kena upah orang hantar, saya ada basikal buruk sahaja yang menjadi pengangkutan kami anak beranak di sini.

Basikal inilah saya guna pergi kerja dan hantar serta ambil anak-anak balik sekolah walaupun ketika hujan,” ceritanya.

Katanya, setelah kisah mereka menjadi tular di laman sosial, seorang netizen telah menyumbang sebuah motosikal baharu untuk kegunaan keluarga Tain, yang diterimanya Ahad lalu.

Sementara itu, isterinya, Ummi Kalsom berkata, seawal lima pagi dia sudah pun bangun untuk menguruskan anak-anak ke sekolah termasuk memakaikan baju sekolah mereka terutama Raziah walaupun telah berusia 18 tahun kerana kurang pandai menguruskan diri sendiri.

“Sebelum ini saya kerja cucuk sate selama 15 tahun, tetapi setelah Ariana disahkan mengalami masalah jantung yang perlu menjalani rawatan susulan yang kerap, saya terpaksa berhenti kerja sejak dua tahun lepas,” katanya.

Kepada sesiapa yang ingin membantu meringankan keluarga ini, sumbangan boleh dibuat melalui akuan BSN bernombor 11100-41- 00012389-1 milik Ummi Kalsom Razali.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.