KUALA NERUS - Kerajaan negeri akan mengurangkan kebergantungan terhadap orang politik dalam persatuan sukan khususnya bola sepak bagi memastikan organisasi itu lebih berdikari.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perubahan secara berperingkat itu mungkin mengambil dua hingga tiga tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya.

"Seperti mana yang disebut dalam sidang Dun (Terengganu) sebelum ini, iaitu kita ingin kurangkan kebergantungan orang politik dalam persatuan-persatuan sukan secara beransur-ansur.

"Ia melibatkan aspek kepimpinan dan kewangan agar semua persatuan dapat berdikari dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan campur tangan politik.

"Bagaimanapun, perubahan ini mungkin mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk dilaksanakan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Korobi Pengakap Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin, di sini, hari ini.

Yang DiPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail turut berkenan berangkat merasmikan majlis itu.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, ditanya mengenai pelantikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Negeri Terengganu (PBSNT), Wan Sukairi menjelaskan perkara itu akan diputuskan Ahmad Samsuri yang baharu dilantik secara automatik sebagai presiden yang baharu.

"Kita akan tunjukan beberapa senarai nama (timbalan presiden) dan perkara itu akan diputuskan oleh beliau (menteri besar) nanti," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan Ahmad Samsuri menjadi presiden PBSNT yang baharu berkuatkuasa serta merta menggantikan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Keputusan itu selaras dengan Mesyuarat Kongres Luar Biasa (EGM) 2018 PBSNT yang membuat pindaan bagi jawatan presiden, di mana ia secara automatik dikhususkan kepada menteri besar.