• Beberapa mahasiswa sedang mengisi borang keahlian Kibar di sini. Beberapa mahasiswa sedang mengisi borang keahlian Kibar di sini.
1 /

KUALA TERENGGANU – Penyertaan mahasiswa dalam politik tidak sesekali mencetuskan perpecahan atau suasana kurang sihat dalam kampus.

Pengerusi Kelab IPT Barisan Nasional (BN) Zon Timur (Kibar), Muhammad Redzuan Zaaba yakin golongan terbabit mampu bersikap matang dalam melahirkan ideologi politik masing-masing, dengan tidak menimbulkan keadaan huru-hara.

Jelasnya, penyertaan dalam politik mungkin dizahirkan di luar kampus, namun percaya masing-masing mampu mengawal emosi dan tindak-tanduk dengan baik ketika berada dalam universiti.

“Saya lihat mahasiswa pada hari ini sudah matang untuk berpolitik dan dengan sikap matang inilah ideologi mereka ditunjukkan dengan cara yang betul dan tidak menggunakan platform yang salah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Kibar, di sini.

Beliau percaya, masalah tidak akan timbul sekalipun mahasiswa menunjukkan diri mereka menyokong mana-mana parti politik.

Mengulas perkara sama, Muhammad Redzuan tidak menolak penglibatan politik di kalangan mahasiswa menyebabkan segelintirnya terbawa-bawa dalam kampus.   

“Benda ini kalau kita lihat secara subjektif memang akan terbawa-bawa tetapi saya yakin ahli Kibar bukan semata-mata politik tetapi memberi khidmat sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Berhubung Kibar, beliau menjelaskan bahawa penubuhan tersebut tepat selepas Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dipinda.

Jelasnya, penyertaan mana-mana pihak dalam Kibar atau mana-mana badan bukan kerajaan yang dinaungi parti politik sudah tentu tidak melanggar mana-mana pindaan.

Sebelum ini, beliau menjelaskan pihaknya turut menyumbang kepada program kebajikan termasuk membantu mangsa banjir, sekali gus membuktikan penyertaan mereka bukan hanya berpolitik tetapi menyumbang tenaga kepada masyarakat.