MARANG – Maahad Tahfiz Al Busyra yang bergerak di bawah pengurusan Masjid Pengadang Baru di kawasan Dun Alur Limbar mempelbagaikan kaedah untuk mencari sumber kewangan bagi menampung kos pembinaan.

Jurucakapnya, Ahmad Saufi Chik, 42, mengakui kebanyakan maahad tahfiz khususnya yang baru dibuka, menghadapi masalah kewangan hingga memaksa mereka mengadakan pelbagai program termasuk kutipan derma.

Menurutnya, kutipan derma adalah antara kaedah terbaik bagi mengumpul dana daripada pihak tertentu, selain sumbangan peribadi diberikan orang awam bagi menampung kos perbelanjaan atas nama maahad tahfiz berkenaan.

“Bagaimanapun, kami tidak meletakkan pelajar mengutip derma di hadapan bank, pasar malam dan stesen minyak kerana mereka tak perlu memikirkan perkara itu. Kami mempunyai kaedah berlainan yang lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata, Maahad Tahfiz Al Busyra yang diuruskan pengurusan Masjid Pengadang Baru itu dijangka mengambil dan menempatkan seramai 200 pelajar apabila pembinaan bangunan tiga tingkat itu siap sepenuhnya kelak.

“Kini hanya seramai 20 pelajar masuk ke sini memandangkan tiada lagi prasarana dan bangunan lengkap. Pelajar-pelajar ini ditempatkan di rumah penginapan Masjid Pengadang Baru yang turut dijadikan sebagai madrasah.

“Mengenai kos pembinaan bangunan tiga tingkat Maahad Tahfiz Al Busyra, anggaran kos pembinaan bangunan dan prasarana dijangka menelan belanja kira-kira RM3 juta dan sekarang sudah 30 peratus dalam pembinaan,” katanya.

Ahmad Saufi berkata, antara kemudahan prasarana bakal disediakan di tingkat satu ialah dewan makan, pejabat urusan, bilik mesyuarat, kantin dan dewan penginapan tetamu, manakala di tingkat dua ialah bilik pembelajaran.

Katanya, di tingkat tiga pula akan disediakan bilik asrama, bilik mandi dan akhir sekali di ruang atas bumbung bagi menempatkan sebuah gelanggang futsal.

“Pihak pengurusan Maahad Tahfiz Al Busyra mengalu-alukan orang ramai, agensi dan badan berkepentingan yang bermurah hati untuk menyumbang,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 13017018291719 atas nama Pusat Pendidikan Islam Al Busyra atau hubungi Ahmad Saufi di talian 013-9333350 atau Mohd Kori Salleh (013-9327500).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kerajaan negeri akan mengeluarkan garis panduan kepada semua 80 maahad tahfiz di negeri ini bagi menjaga dan memelihara nasib pelajarnya.
  • MERSING - Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim (SIGS), Nor Hazimah Mohamad Sukri membuktikan dia mampu mengekalkan prestasi akademiknya selepas menyertai Maahad Tahfiz Al Khairiah Mersing (Matam).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.