JABI - Bekas jurujual kereta yang lumpuh seluruh badan terharu apabila menerima sumbangan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya di Kampung Kepala Gajah.

Isterinya, Salmi Ibrahim, 46, berkata, suaminya, Mohd Amran Ibrahim, 50, terlantar sejak Oktober tahun lalu setelah dua kali diserang strok.

Menurutnya, linangan air mata suaminya jelas membuktikan dia amat terharu apabila menerima kehadiran pihak Perkeso untuk menyampaikan sumbangan berupa alat pemulihan seperti katil dan susu bagi meringankan beban mereka.

“Suami saya pada awalnya terlibat dalam nahas jalan raya di Kampung Bakat pada Mac tahun lalu. Dia tak cedera teruk, cuma kemalangan itu beri kesan kepada kesihatannya apabila tekanan darah semakin tinggi.

“Selepas tu dia dua kali diserang strok termasuk  Oktober lalu yang menyebabkan dia lumpuh sepenuhnya. Sejak terlantar, memang banyak duit diperlukan untuk beli susu khas dan lampin pakai buang,” katanya.

Salmi yang bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut berkata demikian ketika majlis penyerahan peralatan bantuan Perkeso disampaikan Adun Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, yang turut disaksikan Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob.

Sementara itu, Nora berkata, pihaknya mengetahui nasib menimpa Mohd Amran selepas dimaklumkan seorang anggota APM Besut ketika Seminar Perkeso di Ibu Pejabat APM, Kuala Terengganu, 6 Februari lalu.

Katanya, bapa kepada sepasang cahaya mata berusia 18 dan 19 tahun itu merupakan pencarum dan selepas diteliti, dia layak terima faedah disediakan Perkeso.

Tambahnya, Perkeso menyalurkan bantuan peralatan pemulihan, lampin pakai buang dan susu bernilai RM3,500.

"Kita sedang proses pembayaran elaun kerana Mohd Amran juga layak terima pencen ilat dan elaun layanan sentiasa. Pencen ilat bergantung kepada jumlah caruman dan gaji pencarum. Ia dibayar seumur hidup pencarum ataupun waris seperti balu mahupun anak sehingga berusia 21 tahun,” katanya.

Justeru, beliau menggesa majikan agar mencarum Perkeso untuk setiap pekerja bagi meringankan beban mereka jika ditimpa musibah.

“Majikan atau waris perlu lapor segera kepada Perkeso sekiranya ada pencarum ditimpa bencana termasuk kematian,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SIK - Seorang pesakit strok dari Kampung Seputih yang lumpuh sejak dua bulan lalu mendapat perhatian Kelab Aba Bikers Padang Serai, Kulim, baru-baru ini.
  • SEREMBAN - “Dulu saya ingat dia ‘ajuk’ nenek dia berjalan, sebab setiap kali nak bangun dia akan pegang kedua-dua lututnya,” kata Ernawaty Abd Rashid, 41, berkenaan penyakit genetik Becker Masculer Dystrophy dihidapi anaknya, Mohammad Aqil Jazli, 10.
  • PENDANG - Seorang warga emas dari Kampung Palas, di sini setia menjaga isterinya yang menghidap sakit strok sejak 2014.
  • PASIR PUTEH - Seorang pemuda yang lumpuh sejak lebih setahun lalu berharap ada pihak membantunya seberapa segera bagi membolehkan dia menjalani rawatan di hospital.
  • KOTA BHARU - Bagaikan hilang tempat bergantung. Begitulah nasib yang terpaksa dihadapi seorang suri rumah selepas suaminya menghadapi masalah strok sejak setahun lalu di Kedai Mulong di sini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.