KEMAMAN - Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Banggol Indah berharap permohonan untuk membina sebuah surau di kawasan perumahan mereka diluluskan demi memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu.

Pengerusi KRT Taman Banggol Indah, Ahmad Nazaruddin Kama berkata, mereka telah membuat permohonan sejak 2014 kepada pihak berkaitan, namun sehingga sekarang belum mendapat kelulusan.

Menurutnya, projek pembinaan surau berkenaan dijangka menelan belanja RM250,000 dan pihaknya sudah mempunyai peruntukan mencukupi untuk pembinaan bangunan tersebut.

“Pelan surau juga telah siap dan kita turut sediakan tempat pengurusan jenazah.

“Tempat pengurusan jenazah sangat diperlukan di kawasan ini kerana sekarang ia diuruskan di Masjid Kampung Paya Berenjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jalinan Mesra dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersama Komuniti Setempat Taman Banggol Indah.

Ditanya mengenai tapak surau itu, katanya, pemaju perumahan yang membangunkan Taman Banggol Indah telah memberikan tapak bersebelahan dengan jalan utama taman itu.

“Seiring dengan pertambahan penduduk di kawasan ini dengan jumlah rumah melebih 1,000 unit, kita harapkan permohonan pembinaan surau mendapat kelulusan segera,” katanya.