KUALA NERUS - Jumlah kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) terutamanya di Plaza Tol Kuala Terengganu, di Gemuruh, dijangka meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 15,000 pada hari biasa kepada 45, 000 pada musim perayaan kali ini.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2, Roszi Ibrahim berkata, jumlah kenderaan mula meningkat sejak lima hari lalu, namun naik mendadak mulai hari ini dan dijangka berterusan sehingga malam esok.

Justeru katanya, bagi mengatasi kesesakan itu, pihaknya turut mengambil beberapa langkah alternatif antaranya membuka lapan lorong keluar dengan membuat lapisan.

Selain itu, pihaknya juga turut membuka kaunter tambahan dan alat mudah alih untuk mengimbas kad Touch n Go.

"Seperti mana kebiasaan sebelum ini, Plaza Tol Kuala Terengganu di Gemuruh merupakan laluan paling sesak.

"Malah, tahun lalu plaza tol ini merekodkan kesesakan sehingga 12 kilometer dan atas pengalaman itu kita mengambil pelbagai langkah alternatif.

"Kita juga menjalin kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi memantau situasi semasa di LPT 2 dan jika didapati kesesakan luar biasa, kita akan nasihatkan pengguna jalan raya untuk keluar di Tol Ajil,"katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, menyedari laluan LPT 2 yang terpanjang iaitu sejauh 184 kilometer, pihaknya juga turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk berehat sekiranya penat dan tidak memaksa diri memandu dalam keadaan mengantuk.

"Pihak LPT 2 menyediakan kandera saji  di semua R&R bagi kemudahan pengguna lebuhraya,"katanya.