RHU TAPAI - [VIDEO] Pengeluaran hasil buah mata kucing atau longan manis di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai, di sini dijangka berterusan sehingga hujung tahun ini.

Pengusaha ladang pokok mata kucing seluas kira-kira 8.16 hektar, Maznah Sulong, 38, berkata, buah yang sudah sedia dipetik bulan ini mula mengeluarkan bunga sejak September tahun lalu.

Menurutnya, dia sengaja meletakkan baja secara berperingkat ke atas semua 800 pokok yang diusahakannya di TKPM itu.

“Saya mahu buah mata kucing ini mengeluarkan hasil sepanjang tahun, sebab itu ada pokok yang sedang berbuah lebat, buah matang, berbunga, malah ada yang belum mengeluarkan putik.

“Saya buat macam ni untuk pastikan buah mata kucing tidak terputus bekalan di kebun seperti hasil pertama tahun lepas yang hanya dapat bertahan selama tiga minggu,” katanya.

 RM10 sekilogram

Maznah berkata, dia jangka akan mula berniaga dalam masa terdekat disebabkan sudah ada buah yang boleh dijual (masak).

“Alhamdulillah kali ini banyak pokok yang mengeluarkan buah dan berharap ia kekal begitu kerana sering diserang kelawar.

“Saya dan suami, Ahmad Muda, 53, selalu ada di kebun walaupun waktu malam bagi menghalang kelawar yang makan buah mata kucing,” katanya.

Pokok buah mata kucing ada yang sedang berbuah, berbunga dan sebagainya mengikut peringkat supaya hasil dapat dikeluarkan sepanjang tahun.

Malah katanya, perangkap seperti jaring juga dipasang sebagai usaha menangkap kelawar dengan harapan ia berkurangan dan hasil yang keluar lebih banyak.

"Selain jaring, lampu turut dinyalakan pada waktu malam supaya dapat menghalang kelawar mendekati pokok dan makan buah mata kucing," katanya.

Katanya, dia perlu bekerja keras berikutan buah sudah mula berbuah.

"Pokok yang sedang berbunga pun nak kena jaga, letak baja dan sebagainya.

“Apabila pokok sekarang ini tengah berbuah habis dikutip, pokok lain pula akan matang secara berperingkat, semua ini kena jaga,” katanya.

Maznah berkata, buah mata kucing itu akan dijual dengan harga RM10 sekilogram berbanding tahun lalu RM8 sekilogram sahaja.

Harga itu meningkat sedikit kerana kos menguruskan pokok agak mahal berbanding dulu.

Bagaimanapun, beliau yakin, harga yang ditawarkan berbaloi dan mampu milik.

Buah dipetik segar dari ladang

Orang ramai yang menggunakan laluan pantai Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat TKPM Rhu Tapai berpeluang membeli buah dipetik segar dari ladang.

Dia akan menjual buah mata kucing itu di sebuah pondok kecil di bahu jalan berkenaan.

Maznah menunjukkan buah yang sudah boleh dipetik untuk dijual kepada pelanggan.

Seperti sebelum ini, buah yang dijual itu masih mengekalkan penggunaan baja organik sehingga mencapai tahap kemanisan buah pada kadar bacaan 23.

“Pejabat pertanian dah lakukan ujian tahap manis buah (mata kucing) baru-baru ini dan ternyata ia memang manis kerana mencatat bacaan 23.

“Kemanisan buah itu juga dapat dibau walaupun tanpa membuang kulitnya lagi,” katanya.

Bagi memastikan kesegaran buah, Maznah akan mengutip buah itu setiap hari dalam kuantiti tertentu bagi mengelak ia buruk kerana hanya bertahan selama tiga hari selepas dipetik berikutan bebas bahan kimia.