MARANG - Penduduk di Taman Mas Impian di Rusila, di sini berharap pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk menutup kawasan lombong tinggal berhampiran kawasan perumahan mereka bagi mengelakkan orang ramai mengunjungi kawasan larangan tersebut.

Kawasan lombong tinggal tersebut yang kini menjadi tasik berwarna biru menjadi tumpuan orang ramai beriadah walaupun ada dalam kalangan mereka mengetahui ia adalah kawasan larangan.

Wakil penduduk, Rosma Harun, 52, berkata, kehidupan seharian penduduk terganggu dengan kehadiran orang ramai di kawasan lombong tinggal itu.

Katanya, kehadiran orang ramai tidak mengira masa itu menyebabkan penduduk berasa tertekan lebih-lebih lagi mereka terdedah dengan pelbagai risiko negatif.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa dapat memantau perkembangan itu agar kawasan lombong tinggal itu tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai.

"Selain lokasi lombong yang tersembunyi, ia juga kawasan larangan kerana persekitarannya bahaya dan mendedahkan risiko bahaya kepada pengunjung.

"Kami bimbang dengan kehadiran orang ramai yang makin bertambah selain pasangan pengantin juga menjadikan lokasi itu sebagai tempat bergambar walaupun sudah tahu ia kawasan bahaya," katanya.

Bukan sahaja Rosma tetapi rata-rata penduduk taman berkenaan bersetuju sekiranya pihak berkuasa berkaitan dapat menutup kawasan tasik yang berbahaya itu kepada orang ramai.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan kisah lombong tinggal yang kini dikenali sebagai tasik biru itu.

Sebagai maklumat, tasik biru itu tidak boleh diwartakan sebagai pusat pelancongan kerana airnya mengandungi kandungan kimia yang dipercayai mampu menghakis.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Aziz turut bersetuju sekiranya kawasan tasik berkenaan ditutup kepada orang ramai.

Menurutnya, kawasan tasik berkenaan adalah berbahaya dan tidak sesuai dilawati oleh orang ramai malah kawasan itu tidak sesuai untuk mengadakan sebarang aktiviti riadah.

“Kita harap orang ramai dapat mematuhi larangan memasuki kawasan larangan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.