SEBAGAIMANA masyarakat di bumi Acheh yang punyai tradisi unik menjelang Ramadan iaitu ‘Meugang’ atau ‘Makmeugang’, komuniti di daerah ini juga turut meriah lakukan persiapan bagi menyambut ketibaan bulan puasa pada hari  dipanggil Hari Megang.

Tinjauan Sinar Harian mendapati selain Pasar Besar Kuala Berang, tempat jualan di kaki lima juga menjadi tumpuan orang ramai bagi membeli barangan keperluan dan antara yang mendapat permintaan tinggi ialah daging lembu.

Malah, ketibaan Hari Megang begitu dinantikan peniaga-peniaga daging sehingga mereka mengibaratkan sebagai lubuk rezeki memandangkan hasil jualan mereka mampu melebihi RM10,000 bagi tempoh sehari menjelang Ramadan.

Berkongsi cerita, seorang peniaga daging di Kampung Tok Gebok yang juga moyang dua cicit, Abd Wahab Mat Zin,64, berkata dia tidak pernah lepaskan peluang berniaga daging sejak lebih 10 tahun lalu bermula Hari Megang sehinggalah ke hari terakhir Ramadan.

“Permintaan daging begitu meningkat pada hari megang sehinggakan tahun-tahun sebelum ini hasil jualan sekitar RM7,000  hingga RM8,000 dan ada kalanya boleh cecah RM10,000 bagi tempoh sehari. Rezeki Ramadan bagi peniaga seperti pak cik.

“Menjelang Ramadan esok( hari ini), pak cik telah beli lembu lebih kurang tiga, empat ekor daripada Temerloh beberapa hari lalu untuk dijual dagingnya pada hari megang hari ini (semalam). Pak cik tidak pelihara lama lembu-lembu itu kerana tidak larat uruskannya.

“Bagi hari ini (semalam) dua ekor lembu disembelih lebih kurang jam 4.30 pagi tadi dan dagingnya mula dijual dengan harga RM30 sekilogram (kg) bermula jam 8 pagi. Mungkin menjelang petang, seekor lagi akan disembelih bagi penuhi permintaan pembeli.

“Sepanjang Ramadan tahun-tahun sebelum ini, lebih kurang 40 ekor lembu dibeli untuk disembelih bagi dijual dagingnya. Pada hari terakhir Ramadan, rezeki diperoleh lebih lagi hingga mencecah RM15,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tambah  Abd Wahab, selain Ramadan dia juga berniaga daging pada hari Khamis di lokasi sama di gerai tepi jalan laluan Ajil-Kuala Berang tetapi kadang-kadang sahaja dan hasil jualan hari biasa cuma sekitar RM2,000 hingga RM3,000.

Ketibaan Hari Megang dinantikan peniaga

Bagi seorang peniaga daging di Pasar Besar Kuala Berang, Nordin Mat Zin,40, berkata sebanyak enam ekor lembu dan kerbau disembelih bagi memenuhi permintaan pelanggan pada Hari Megang kali ini.

“Harga daging dijual hari ini RM30 satu kg dan selain di sini, saya juga punyai satu cawangan di Ajil.

"Berdasarkan hasil jualan pada hari megang sebelum ini, boleh cecah sehingga RM20,000 dan tentunya ia rezeki bagi peniaga seperti saya.

“Berbanding hari biasa sekitar tiga orang peniaga termasuk saya sahaja berniaga di sini tetapi ‘hari megang’ ini lebih meriah apabila jumlah peniaga bertambah sehingga tujuh orang pada hari ini.

“Ketibaan Hari Megang ini sememangnya dinantikan kerana pada hari inilah hasil jualan atau pendapatan peniaga-peniaga daging meningkat berbanding hari biasa,” katanya yang berniaga hari Rabu, Sabtu dan Jumaat pada hari biasa di Pasar Besar Kuala Berang.

Tambah Nordin yang telah berniaga daging sejak 10 tahun lalu, hari terakhir Ramadan merupakan satu lagi hari yang begitu dinantikan kerana permintaan diterima pelanggan lebih meningkat bagi persiapan 1 Syawal.

“Hari ini (semalam) saya mula berniaga sekitar jam 7.30 pagi dan menjelang tengahari daging hampir habis terjual kesemuanya.

"Hasil jualan keseluruhan hari ini belum dikira lagi, bagaimanapun saya jangka jumlahnya sekitar hasil diperoleh tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, untuk info bagi masyarakat Acheh, pada hari-hari ‘Meugang’ mereka  akan berkunjung ke pasar bagi dapatkan bekalan daging hingga mewujudkan kemeriahan di sesebuah pasar dan gang dalam bahasa Acheh bermakna pasar.