KAMPUNG RAJA- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut berjaya menyelamatkan lima remaja bawah umur dari dibelenggu najis dadah menerusi Ops Cegah di sekitar daerah iniKetua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, lima remaja lelaki berusia 14 hingga 17 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Jertih dan Kuala Besut.

Menurutnya, bertindak atas maklumat kakitangan AADK seramai tujuh orang diketuai beliau sendiri telah menyerbu dua buah rumah di dua lokasi tersebut.“Serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Gertak 100, Kuala Besut kira-kira jam 7 pagi dan berjaya menahan seorang remaja bawah umur berusia 15 tahun kerana saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis pil kuda,” katanya.

Noor Hafiza berkata, setengah jam kemudian pasukan sama bergerak ke Jertih sebelum menyerbu sebuah rumah di Kampung Guang.

Menurutnya,  dalam serbuah kedua itu, pihaknya berjaya menahan empat remaja iaitu seorang remaja berusia 14 tahun  dan dua orang masing-masing 16 tahun serta seorang lagi berusia 17 tahun.

“Ketika serbuan mereka sedang tidur di satu ruang sudut rumah milik ahli keluarga salah seorang daripada suspek.

"Turut berada di dalam rumah itu adalah ibu kepada salah seorang remaja terbabit," katanya.

Peralatan mengambil dadah turut dirampas daripada remaja tersebut.

Menurutnya, wanita berkenaan dipercayai mengetahui perbuatan anaknya bersama remaja lain di dalam rumah itu.

“Saringan awal air kencing terhadap keempat –empat suspek turut mendapati mereka positif pil kuda.

"Kami turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengambil dadah," katanya.

Noor Hafizza berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua remaja yang sudah tidak bersekolah ini baru terjebak dengan dadah pil kuda akibat pengaruh rakan-rakan.

“Namun begitu ada di kalangan mereka yang mengambil dadah sebanyak tiga biji sehari yang memerlukan belanja sekitar RM30.00.

“Bagaimana pun mereka bekerja sebagai buruh untuk mendapatkan wang bagi mendapatkan bekalan dadah,” katanuya.

Katanya lagi, siasatan juga mendapati rata-rata mereka ini dari latar belakang keluarga yang  bermasalah.

Menurutnya, hasil perbincangan dengan waris dan atas kerelaan sendiri,  mereka dihantar ke Klinik Pemulihan dan Rawatan (C&C) Kota Bharu, Kelantan untuk menjalani pemulihan selama tempoh dua tahun.

“Klinik tersebut adalah  satu fasiliti terbuka  menawarkan program rawatan dan pemulihan yang dijalankan secara open access service dan bersifat sukarela. Tiada sebarang pra-syarat yang dikenakan terhadap klien dan tiada bayaran dikenakan.

“Kesemua remaja ini boleh dikatakan bernasib baik kerana telah diselamatkan awal oleh pihak AADK daripada terus leka dengan najis dadah yang merosakkan diri dan masa depan mereka,” katanya.

Tambahnya, seramai dua penagih dewasa berusia 25 dan 32 tahun ditahan dalam operasi sama  termasuk seorang yang masih dalam pengawasan (orang kena pengawasan) AADK.