KUALA TERENGGANU – Tingkat atas sebuah rumah tujuh bilik milik pasangan warga emas di Jalan Budiman, Kampung Mengabang Tengah, di sini musnah dalam kebakaran yang membabitkan kerugian kira-kira RM500,000, malam tadi.

Mangsa, Radziah Yusof, 60, berkata, ketika kejadian, beliau, suami dan anak-anaknya berada di kedai runcit yang diusahakan dia dan suami, Ghazali Abdullah, 65 berhampiran rumah mereka.

“Masa kejadian kira-kira jam 7.30 malam tu, kebetulan bekalan elektrik di kawasan ini terputus. Salah seorang anak saya yang OKU, usia 32, menghidupkan sebatang lilin di tingkat atas rumah, ketika itu dia tinggal berseorang di rumah.

“Mungkin lilin yang dihidupkan itu terbalik lalu menyebabkan barangan berhampirannya terbakar, anak saya selepas itu keluar ke kedai runcit namun tidak memberitahu apa-apa sehinggalah saya menyedari terdapat asap tebal dan mendapati bahagian atas rumah telah terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian selepas menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dun Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi.

Radziah bagaimanapun tidak menyalahkan anaknya itu dan menyifatkan kejadian sebagai ujian buatnya sekeluarga.

Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Zulbahri Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 7.49 malam dan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Lima jentera bomba dari BBP Jalan Kota dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan dari orang awam.

“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati api marak membakar bahagian atas rumah berkenaan yang keseluruhan diperbuat daripada kayu. Api berjaya dikawal sepenuhnya jam 8.15 malam”, katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Lebih RM2 juta diperlukan bagi membaiki lebih 200 rumah usang lama dan uzur di sekitar kawasan Parlimen Maran.
  • KUALA LUMPUR - Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 3,000 pelajar baharu bagi pengambilan sesi September ini menerusi program ‘satu rumah satu mahasiswa’.