KUALA TERENGGANU – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak diterima di negara ini dilihat sebagai jawapan rasmi terhadap tuduhan pembangkang bahawa kerajaan PH menyokong LGBT.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, beliau berharap jawapan Perdana Menteri itu akan melenyapkan segala permintaan, desakan, prasangka, tuduhan dan fitnah kononnya kerajaan bersetuju dengan kumpulan songsang itu.

“Bagi Bersatu Terengganu, kenyataan Perdana Menteri bahawa ‘konsep kekeluargaan di negara ini tidak akan berubah’ adalah wadah peneguhan institusi keluarga Malaysia bagi semua kaum dan keturunan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razali turut menyifatkan penegasan Dr Mahathir menolak amalan tidak bermoral itu umpama membunuh dua ekor burung dengan sebiji batu.

Ini kerana katanya, pendirian bahawa LGBT bertentangan dengan Islam serta amalan kehidupan rakyat negara menjawab kritikan barat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan luar negara serta pembangkang yang sering menuduh kerajaan pimpinan Dr Mahathir mengiktiraf LGBT.

“Oleh itu, mana-mana NGO atau kumpulan tertentu sama ada dalam mahupun luar negara perlu menghormati pendirian kerajaan

“Kita juga bersetuju dan menyanjungi pendirian Perdana Menteri yang  tegas  menolak  permintaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya kerajaan mengiktiraf golongan LGBT  di negara ini.

“Malah, kenyataan itu jelas sebagai jawapan kepada tindakan Suhakam  yang sebelum ini menyelar tindakan Terengganu menjalankan sebat terhadap pasangan lesbian,” katanya.