KUALA TERENGGANU – Wanita Umno Terengganu mendesak BN mempertimbangkan semula kedudukan calon wanita negeri ini supaya diletakkan di kerusi selamat pada PRU14.

Setiausaha Wanita Umno Terengganu, Toh Puan Zaitun Mat Amin berkata, ia bertujuan memastikan hasrat negara untuk capai sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar dapat direalisasikan.

“Jadi, tentunya pada PRU14, kita (wanita) pohon perdana menteri dapat beri kerusi yang boleh menang.  Wanita negeri merayu supaya menimbang balik (semula) kerusi yang selamat untuk negeri Terengganu.

“Atau tidak ketertaluan, kalau wanita negeri mendesak isu letak calon wanita di Dun atau Parlimen disandang pembangkang, dapat dipertimbangkan balik supaya memberi kesempatan wanita melibatkan diri dalam apa juga usaha menerajui kerajaan,” katanya.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, BN Terengganu akan mempertaruhkan calon wanita di kerusi Dun atau Parlimen disandang pembangkang pada PRU14.

Perkara itu disahkan sendiri pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, namun enggan mendedahkan perkara itu lebih lanjut.

Menurutnya, tiada istilah kerusi selamat atau sebaliknya dan berharap calon wanita yang diketengahkan kelak berupaya bantu kemenangan parti pada PRU yang disifatkan paling mencabar, sekali gus membuka dimensi baharu politik di negeri ini.

Sementara itu, Zaitun yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Marang itu berkata, sejak awal lagi perjuangan wanita bukan sekadar dicalonkan semata-mata sebaliknya mempunyai matlamat dan visi.   

Sehubungan itu katanya, wanita berhak diberi peluang dilantik sebagai pembuat dasar kerana golongan itu juga merupakan jentera yang paling kuat di lapangan dan memainkan peranan penting menggerakkan jentera parti.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan keputusan akhir berkait soal calon kepada kebijaksanaan Perdana Menteri kerana yakin dan percaya pucuk pimpinan mempunyai strategi tersendiri dalam mengukuhkan kedudukan politik BN.

“Sebagai sayap parti, bersama Pemuda dan juga Puteri kita berjuang bukan melihat calon yang bertanding tetapi melihat BN itu sendiri mesti dipertahankan dan meneruskan perjuangan.

“Malah saya yakin, semua ahli  dan kepimpinan BN cukup faham dan sangat jelas perjuangan. Siapa calon, mesti kita menangkan.  BN menang, rakyat senang, itu yang penting,” katanya.