KEMAMAN - Rasanya yang sangat berlemak dan tahan sehingga lebih tiga hari walaupun tidak disimpan dalam peti ais menjadikan lemang Kijal sangat tersohor.

Dek populariti itu, lemang Kijal bukan sahaja diangkat menjadi salah satu makanan tradisional identiti daerah Kemaman, malah kunjungan pelancong ke Terengganu juga seakan tidak lengkap jika tidak menjamah makanan itu.

Keistimewaan lemang Kijal juga mendorong ramai pelancong membawa pulang makanan itu sebagai buah tangan kepada keluarga, saudara mara dan kenalan.

Ekoran keadaan itu, deretan gerai lemang Kijal yang sejak beberapa tahun lalu dijenamakan sebagai Wilayah Lemang Kijal tidak pernah sunyi daripada dikunjungi pembeli setiap hari.

Kedatangan musim perayaan pula terutama Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha ibarat memberi bonus kepada mereka kerana dapat meraih pendapatan berlipat kali ganda berbanding pada hari biasa.

Menyingkap rahsia 'keunikan' lemang Kijal, peniaga, Zubaidah Ismail berkata, kelainannya terletak kepada cara penyediaannya yang teliti, mengutamakan kebersihan dan masa membakarnya yang agak lama.

Katanya, lemang akan tahan lebih lama jika keseluruhan lemang masak sempurna terutama bahagian hujungnya yang dipanggil 'kepala' lemang.

"Kena 'kepala' lemang betul-betul kering, baharulah ia tahan lama hingga lebih tiga hari.

"Untuk masak sempurna, lemang perlu dibakar dalam tempoh agak lama iaitu sekitar lebih sejam setengah," kata pemilik gerai C14 itu.

Bancuhan santan ditambah ke dalam lemang yang sedang dibakar.

Tambah bancuhan santan

Bagi memastikan tekstur rasa lemang yang dijualnya sedap berlemak, Zubaidah, 48, berkata, dia terlebih dahulu merendam beras pulut selama setengah jam sebelum membasuh beras itu antara 12 hingga 13 kali bagi memastikannya benar-benar bersih.

Beras pulut yang menjadi bahan utama penyediaan lemang kemudiannya pula dicampur bersama bancuhan santan, garam dan gula sebelum dimasukkan ke dalam buluh dengan dialas daun pisang.

Beras berisi adunan beras pulut bersama santan, garam dan gula kemudiannya dibakar di bahagian dapur yang terletak di hadapan setiap gerai di deretan gerai berkenaan.

Katanya, ketika proses lemang dibakar itu, dia menambah beberapa kali bancuhan santan ke dalam adunan itu hingga lemang benar-benar masak dan ia menjadikan lemang Kijal sangat berlemak.

Ketibaan Aidiladha pada Rabu lalu membuatkan Zubaidah tidak menang tangan melayan kehendak pembeli dan sepanjang tempoh menjelang hari raya itu dia mampu menjual sehingga 50 kilogram (kg) atau 500 batang lemang sehari.

"Sehari sebelum Hari Raya Haji saya mula berniaga jam 8 pagi hingga 4 pagi kerana ramai pembeli singgah dalam perjalanan balik ke kampung," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, pendapatan yang diraih pada musim perayaan Aidiladha tidak selumayan musim Aidilfitri kerana dia mampu menjual antara 200 hingga 300 kg lemang setiap hari.

Zubaidah menunjukkan dua lemang yang telah masak sempurna selepas sejam setengah dibakar.

Gunakan santan segar

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga lemang, Rabiah Ismail, 53, turut mengakui kualiti lemang Kijal yang tiada tandingan disebabkan tempoh membakarnya yang lama dan penggunaan santan segar.

Katanya, dia membakar lemang sama seperti peniaga lemang di negeri lain namun, tempoh membakarnya agak lama hingga ke dua jam.

"Saya bakar lemang sampai adunannya 'tubik' (keluar) minyak dan santan benar-benar kering.

"Saya juga cuma guna santan yang betul-betul segar yang dihantar pembekal terus ke gerai setiap setiap hari," katanya yang berniaga di situ sejak 15 tahun lalu.

Jelas peniaga gerai C10 itu lagi, kesedapan lemang juga turut dipengaruhi aroma daun pisang yang digunakan sebagai alas atau pelapik antara buluh dan adunan lemang serta penggunaan kayu api untuk membakar.

Disebabkan keadaan itu, peniaga lemang masih menggunakan kaedah membakar lemang menggunakan kayu api sehingga sekarang dan terpaksa 'bermain' kepulan asap saban hari walaupun sekarang terdapat kaedah moden menyediakan lemang.

Dari segi harga, jika lemang di tempat lain dijual hingga RM15 sebatang tetapi lemang Kijal masih lagi murah kerana masih ada yang berharga antara empat hingga tiga batang RM10 bagi yang bersaz kecil dan dua batang RM10 bagi yang bersaiz besar.

Sebagai pelengkap, majoriti peniaga lemang Kijal turut menjual rendang yang dibuat sendiri atau dihantar penjual serta serunding ikan, ayam dan daging.

Rabiah menunjukkan lemang Kijal yang telah siap dipotong.

Buah tangan wajib dibeli

Sementara itu, pembeli, Zulfakarudin Zulkifli, 37, dari Batu Pahat, Johor berkata, lemang Kijal menjadi buah tangan wajib dibelinya untuk ibu mertuanya yang tinggal di Batu Pahat setiap kali dia pulang ke kampung halamannya di Kuala Terengganu.

"Mak mertua sangat suka lemang Kijal dan dia cakap lemang Kijal sangat sedap kerana berlemak dan tidak sama dengan lemang dijual di tempat lain. Lemang Kijal berlemak mungkin sebab santannya diletakkan lebih.

"Selain sedap, lemang Kijal juga tahan lama. Kalau letak dalam peti ais, ia lagi tahan, boleh tahan sampai lebih lima hari. Kalau nak makan cuma peru kukus balik dan rasanya sama seperti baharu dibeli," katanya yang juga seorang pemandu.

Zulfakarudin dan isterinya menunjukkan lemang yang dibeli mereka di Wilayah Lemang Kijal.

Teruja cuba lemang Kijal pertama kali

Zamzuri Hamad, 46, dari Tangkak, Johor pula memberitahu, lemang Kijal yang popular menyebabkan dia teruja untuk mencuba merasa kesedapannya buat pertama kali.

"Ramai yang cakap lemang Kijal sedap, jadi kebetulan saya lalu Kemaman untuk balik beraya di rumah mertua di Kuala Terengganu, saya beli untuk cuba.

"Memang teruja nak beli kerana bila lalu jalan di depan deretan gerai lemang ini juga, banyak kereta berhenti untuk beli lemang ini," katanya.