KUALA TERENGGANU - Hasil lelongan barang rampasan yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu mencecah hampir RM60,000 tahun lalu.

Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, lelongan barang rampasan berkenaan termasuk ikan dan sotong kering serta minyak.

"Hasil lelongan ikan dan sotong kering dikutip mencecah hampir RM31,000 yang mana nilai lelongan tertinggi sehingga RM7,000.

"Selain itu, hasil lelongan minyak pula dikutip mencecah hampir RM36,000 dan nilai lelongan tertinggi sehingga RM20,000," katanya, semalam.

Rahim berkata, dalam masa sama, Maritim memungut hampir RM36,000 jumlah kompaun selain RM300,000 denda yang dikenakan oleh mahkamah kepada pesalah terlibat.

"Pada tahun lalu juga, sebanyak 28 kes didakwa di mahkamah yang mana 24 kes berjaya diselesaikan, tiga kes dalam proses perbicaraan selain satu kes masih dalam siasatan.

"Antara kesalahan yang paling kerap didakwa ialah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen atau melanggar syarat," katanya.

Selain itu, Rahim berkata, seramai 258 nelayan warga asing ditahan yang mana warga Vietnam mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 191 orang diikuti warga Thailand, 55 orang dan Indonesia iaitu seramai 12 orang.

"Daripada jumlah itu, mahkamah memutuskan 156 nelayan warga asing ini diusir dari negara manakala lima daripada mereka dihukum penjara,"'katanya.