KUALA TERENGGANU - Meskipun pernah ditangkap dan dikenakan hukuman denda atas kesalahan membeli nombor ekor, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun dilihat seolah-olah tidak pernah serik apabila sekali lagi dicekup dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Bukit Bayas, di sini, petang kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 5.45 petang oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), turut ditahan seorang pemuda tempatan berusia 20-an yang dipercayai baru ‘berjinak’ bermain judi nombor ekor.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Penguat kuasa Syariah JHEAT, Nik Zulhaiza Ismail berkata, semasa serbuan dilakukan, dua lelaki tersebut sedang asyik menjalankan urus niaga jual beli nombor ekor dengan pemilik rumah.

“Mereka langsung tidak sedar kehadiran kami mungkin disebabkan faktor cuaca ketika itu sedang hujan lebat selain terlalu asyik berurus niaga dengan pemilik rumah.

“Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati salah seorang daripadanya pernah memiliki rekod jenayah lampau kerana kesalahan membeli nombor ekor dan sekali lagi ditahan atas kesalahan sama.

“Manakala seorang lagi yang baru berusia 20-an dipercayai baru ‘berjinak’ bermain nombor ekor kerana semasa ditahan, dia seolah-olah tidak tahu membeli nombor ekor merupakan satu kesalahan jenayah syariah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Nik Zulhaiza berkata, siasatan awal mendapati pemilik rumah menjadikan rumah miliknya sebagai ‘sarang’ urus niaga menjual nombor ekor bagi mengaburi mata masyarakat terutamanya pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar hasil intipan pihaknya serta aduan diterima daripada orang ramai memaklumkan pemilik rumah itu aktif menjalankan urus niaga jual nombor ekor kepada masyarakat Islam di sekitar kawasan terbabit terutamanya orang kampung yang tinggal berhampiran.

Kedua-dua individu yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 22, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berjudi, jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Nik Zulhaiza berkata, kedua-duanya dibebaskan dengan bon jaminan untuk hadir ke mahkamah bagi proses pendakwaan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, di sini, pada tarikh yang ditetapkan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan atau aktiviti tidak sihat di kawasan masing-masing boleh membuat aduan atau menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi talian 019-9512114, 019-9372114 atau 019-9132114.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Sekumpulan kaki nombor ekor sanggup ‘berkubang’ di dalam kawasan paya hampir sejam semata-mata mengelak diri daripada dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) selepas kedai runcit yang menjadi ‘port’ membeli nombor ekor diserbu, Khamis lalu.
  • KLUANG - Polis Kluang berjaya menahan sembilan warga tempatan dipercayai terlibat dalam loteri haram di sebuah rumah di Taman Kaseh, Simpang Renggam, di sini, kelmarin.
  • KUALA TERENGGANU - Empat kaki nombor ekor termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ketika sedang leka membeli nombor ekor, dalam dua serbuan berasingan di bandar raya di sini, Sabtu lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang nelayan yang pernah dicekup tiga kali kerana bermain judi, sekali lagi ditangkap ketika asyik membeli nombor ekor di sebuah kedai di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.