KUALA TERENGGANU - Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu disifatkan lebih mustahak untuk diteliti berbanding isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, enakmen tersebut lebih dekat dengan rakyat Terengganu, sebaliknya RUU 355 pula belum tentu berjaya dibentangkan di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

Beliau turut mempersoalkan sikap wakil rakyat negeri ini yang jelas tidak memberi perhatian terhadap Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) (pindaan) 2016 di halaman 29 dalam Warta Kerajaan yang dibentangkan Sidang Dun Terengganu pada 27 Oktober 2016 lalu, sebaliknya bersungguh-sungguh terhadap isu RUU355.

“Isu ini tidak mendapat sambutan kerana hanya beberapa ahli dewan (wakil rakyat) yang berbahas dan beri pandangan kepada perbahasan sedangkan ia untuk mempertingkatkan, memperbaiki dan memperkasa undang-undang tetapi tiada seorang pun yang menyedari bahawa pindaan tersebut bukan memperkasa tetapi melemahkan.

“Hukuman diringankan. Kalau hendak memperkuat, memperkasa (hukuman) sudah tentu hukuman ditambah tetapi ini mengurangkan. Berdasarkan Seksyen 19 enakmen tersebut dipinda dengan menggantikan perkataan didenda ‘dua ribu ringgit’ dengan perkataan ‘satu ribu ringgit’.

“Dalam dewan tiada yang teliti denda diturunkan daripada RM2,000 kepada RM1,000. Saya bangkit (bahas) dan kemudian dewan bersetuju menaikkan denda kepada RM3,000,” katanya.

Sekiranya semua pihak terlepas pandang dan tidak memberi perhatian, beliau yakin sudah tentu perkara itu akan diluluskan dengan hukuman denda dikurangkan kepada RM1,000.

“Isu ini dekat dengan rakyat Terengganu, sepatutnya lebih diteliti dengan baik sebelum RUU 355. Yang ini lebih dekat di mata,” katanya.

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai kenyataan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi bahawa Dun Terengganu dicadangkan meneliti dan mengkaji semula Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 1423H/2002M yang tertangguh hampir 15 tahun.

Atas cadangan tersebut, Syed Azman menyerahkan notis mengenai usul itu kepada setiausaha Dun kira-kira jam 10.35 pagi, 9 Mac lalu, di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 31 (2) peraturan-peraturan dan perintah tetap Dun Terengganu dengan notis 14 hari.

Beliau turut memohon supaya sidang khas bagi membahaskan kembali enakmen tersebut diadakan dengan segera.

Sementara itu, Azan yang juga Adun Bandar memberitahu akan membangkitkan kembali mengenai pindaan tersebut dalam sidang Dun akan datang, dijangka berlangsung 27 Mac ini bagi memastikan ia benar-benar dicatatkan dalam warta kerajaan sebagaimana diluluskan.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Jentera Umno bersama parti komponen mengambil pendekatan berinteraksi dengan masyarakat di samping memperjuangkan isu-isu rakyat untuk mendekati mereka.
  • KUALA TERENGGANU - Dun Terengganu kecoh selama hampir lima minit apabila hampir kesemua wakil rakyat pembangkang tidak berpuas hati dengan kenyataan wakil kerajaan berhubung status terkini Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut.
  • SEREMBAN - Dewan Persidangan Dun Negeri Sembilan kecoh kira-kira 10 minit apabila Adun Chennah, Loke Siew Fook tidak berpuas hati dengan penerimaan jawapan bertulis yang hanya diberi kepada ahli dewan bertanya sahaja.
  • SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meneruskan tradisi mengadakan rumah terbuka untuk rakyat sempena Aidilfitri di kediaman keluarganya di Kampung Tanjung, Rantau, di sini, semalam.
  • PASIR GUDANG - Johor mahu kerajaan pusat berbincang terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berkaitan Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) yang didakwa berisiko muflis dilakukan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.