KUALA TERENGGANU - Terengganu merekodkan seramai 43,269 ibu dan bapa tunggal sehingga Jun 2018 dan angka berkenaan sebenarnya tidak membimbangkan kerajaan negeri berbanding jumlah keseluruhan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 35,426 adalah ibu tunggal manakala 7,843 bapa tunggal.

"Biarpun berlaku sedikit peningkatan dari segi jumlah, ia sebenarnya bukan meningkat, cuma terlepas pandang iaitu ada di antara  ibu dan bapa tunggal yang tidak berdaftar sebelum ini.

"Saya rasa jumlah ini tidak terlalu ramai nak dibandingkan dengan rakyat Terengganu yang ada sekarang ini tetapi dalam masa sama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) akan mengambil inisiatif bagi memastikan pengurangan jumlah itu dari semasa ke semasa.

Katanya kepada media selepas selesai menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal dan Pinjaman Modal Program Jaya Diri, di Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Timbalannya, Ramlah Idris.

Hanafiah berkata, insentif perkahwinan bagi ibu dan bapa tunggal juga antara program yang menggalakkan pengurangan angka berkenaan.

Sementara itu, berdasarkan statistik yang diterima, daerah Kemaman mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,972 yang terdiri daripada ibu tunggal sebanyak 5,581 dan bapa tunggal (1,391).

Diikuti daerah Besut, 6,016 iaitu 4,959 (ibu tunggal), 1,087 (bapa tunggal), Marang, 5,837 iaitu 4,797 (ibu tunggal) 1,040 (bapa tunggal) dan  Dungun, 5,735 iaitu 4,692 (ibu tunggal), 1,043 (bapa tunggal).

Kemudian dearah Kuala Terengganu, 5,129 iaitu 4,256 (ibu tunggal), 877 (bapa tunggal), Kuala Nerus, 4,920 iaitu 4,087 (ibu tunggal), 833 (bapa tunggal) dan Setiu, 4,495 iaitu 3,688 (ibu tunggal), 807 (bapa tunggal).

Manakala daerah terendah pula ialah Hulu Terengganu iaitu 4,165 orang meliputi 3,370 (ibu tunggal) dan 795 (bapa tunggal).