DUNGUN - Sebanyak 134 buah rumah mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam musibah di Bandar Al-Muktaffi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, beberapa buah rumah rosak ditimpa pokok tumbang dan sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

Pasukan bomba dan penyelamat AMBS turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu kerja-kerja mengalih dan membersih pokok tumbang serta membantu mangsa yang terjejas.

Pegawai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, seramai 15 anggota bomba dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam operasi tersebut.

"Sebanyak 29 buah rumah di Taman Indah mengalami kerosakan, 12 buah rumah di Taman Madani,  17 di Taman Abadi, lapan di Taman Mulia, 51 di Taman Setia dan 17 Taman Bakti.

"Sebanyak 21 batang pokok turut tumbang dan menutup jalan keluar masuk penduduk di sekitar kawasan terbabit.

"Operasi membersih pokok tumbang selesai pada jam 2 petang tadi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kerja baik pulih rumah segera dilakukan melalui peruntukan Tabung Darul Iman yang dianggarkan menelan belanja sebanyak kira-kira RM20,000.

"Sebahagian rumah sudah dibaik pulih dan selebihnya akan diteruskan sehingga semuanya selesai.

"Kesemua rumah penduduk terbabit adalah milik Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 40 buah rumah terbabit telah selesai urusan sewa beli dan telah menerima geran daripada Ketengah.

"Kesemua rumah yang selesai sewa beli telah dan sedang dibaiki, manakala rumah yang belum menerima geran diserahkan kepada pihak Ketengah untuk tindakan pembaikian," katanya.