KUALA TERENGGANU – Kejadian ribut yang melanda pada Isnin lalu hingga menyebabkan kira-kira 1,868 kediaman di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus terjejas disifatkan penduduk sebagai bencana paling buruk pernah berlaku.

Penduduk di Kampung Baru Tetambah, Wan Hussin Wan Salleh, 64, berkata, kampungnya dilanda hujan batu sebelum ribut kuat menerbangkan atap serta barangan lain di enam buah rumah di kawasan sekitar kampung berkenaan sehingga gagal dikesan.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, dia berada di rumahnya dan musibah itu berlaku dalam sekelip mata dan bekas anggota Rela itu sempat melaungkan azan sebanyak dua kali.

“Angin mari dua kali, kali pertama tu mari sekejap saja lepas itu reda sekejap sebelum mari angin kedua yang menarik pokok, atap rumah dan juga periuk di kedai hadapan rumah pakcik.

“Sebelum ribut kuat, ada hujan manik (hujan batu), pakcik sedang kutip hujan manik itu dan apabila berpaling ke belakang, tiba-tiba atap rumah, pokok dan juga periuk diterbangkan angin sehingga pakcik melaungkan azan sebanyak dua kali,” katanya kepada pemberita yang ditemui di rumahnya di Kampung Baru Tetambah, di sini, semalam.

Wan Hussin berkata, sebanyak enam buah rumah berdekatan rosak dilanda ribut dan mereka berterima kasih kerana kerajaan dan pihak-pihak tertentu tampil menghulurkan bantuan segera bagi membaiki kerosakan terutama atap yang tercabut dan pecah.

Kereta yang rosak ditimpa atap. ( Gambar kecil: Rohaya Awang)

Dalam masa sama, warga emas itu berkata, kandang yang menempatkan tujuh ekor lembunya turut roboh namun bersyukur kerana tiada kecederaan berlaku terhadap peliharaannya itu.

“Lepas ribut itu reda, pakcik pergi tengok lembu yang pakcik bela ada tujuh ekor, terkejut juga tengok kandang roboh tapi mujurlah tali yang dipasang tercabut dan lembu-lembu itu sempat menyelamatkan diri daripada dihempap kandang,” katanya.

Cermin hadapan kereta yang diletakkan di hadapan rumah juga pecah ditimpa atap yang diterbangkan angin.

Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut dari Kampung Banggol Tok Esah, Rohaya Awang, 47, berkata, dia amat sedih melihat keadaan rumah peninggalan emaknya itu rosak teruk sehingga turut memusnahkan perabot dan barangan elektrik.

Ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana menjual nasi bajet di Chabang Tiga tetapi selepas ribut reda yang turut menyebabkan kanopi tempat dia berniaga patah, dia pulang ke rumah dan mendapati rumahnya juga turut rosak.

“Dalam perjalanan balik ke rumah, saya tengok banyak rumah orang rosak kena ribut tetapi bila tengok rumah sendiri, tiba-tiba rasa sedih kerana ini rumah arwah mak, lagipun sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seperti ini,” katanya.

Dalam kesedihan itu, dia menerimanya dengan berlapang dada, cuma berharap ada yang datang membantu dia membaiki atap kerana suami, Rosaidi Md Noor, 53, tidak berupaya untuk naik ke atas bumbung dan membaiki atap itu dengan kudratnya sendiri.