KEMAMAN - Laluan antara Kilometer (KM) 250 Jabor dan KM305.9 Kijal yang meliputi sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditutup sementara Sabtu ini untuk memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De’ Perasing Ride@LPT2.

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT2 Sdn Bhd, Roszi Ibrahim berkata, laluan itu ditutup bermula jam 12 tengah malam hingga 2 petang.

“Penutupan laluan Jabor-Kijal tersebut juga membabitkan Persimpangan Bertingkat Cheneh dan Persimpangan Bertingkat Chukai di LPT2.

"Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut," katanya.

Menurutnya, laluan di antara Jabor dan Kijal itu dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai jam 2 petang hari sama sejurus berakhirnya acara berbasikal tersebut.

“Orang ramai dari arah Kuala Lumpur yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan supaya keluar dari LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor.

"Sekiranya mereka ingin meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dan Kelantan menerusi LPT2, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya masuk semula ke LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal,” katanya.

Tambah Roszi, bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu yang menghala ke Kuala Lumpur, mereka perlu keluar di Plaza Tol Kijal di LPT2 sebelum masuk semula ke LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

"LPT2 juga bekerjasama dengan pihak polis dan pihak-pihak lain dalam memastikan kelancaran trafik dan membantu orang ramai sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut," katanya lagi.