KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan tiga bot nelayan Vietnam kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara di tiga lokasi berasingan, dalam Ops Iman,  pada Ahad lalu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ketiga-tiga bot itu ditahan di 106 batu nautika hingga 116 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, iaitu antara jam 4.15 petang hingga 7.28 malam.

Menurutnya, turut ditahan seramai 40 awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 17 hingga 48 tahun dengan nilai rampasan hampir RM4.5 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

"Ketika kapal peronda kita cuba menghampiri bot-bot berkenaan, mereka bertindak melarikan diri sebelum berjaya ditahan selepas mengejar hampir dua jam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati sebahagian daripada mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan sah dan permit kerja yang sah.

"Kesemuanya kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran yang sah dan tidak memiliki lesen yang sah," katanya pada sidang media di pejabat Maritim Terengganu, di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, selain itu, kesemua nelayan asing ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki pengenalan diri dan permit kerja yang sah dan Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan kerana memalsukan dokumen bot.

"Ini disebabkan hasil pemeriksaan mendapati salah sebuah bot berkenaan disyaki memalsukan dokumen dengan menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi tujuan mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Suffi menegaskan Maritim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran yang mana akan merugikan negara.

"Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim.

"Justeru itu kerjasama daripada masyarakat terutama nelayan tempatan untuk melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang  berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Terengganu," katanya.