DUNGUN - Kebanyakan industri di negeri ini mempunyai tahap kesedaran kesihatan pekerjaan yang kurang memuaskan, malah banyak kes membabitkan penyakit disebabkan pekerjaan tidak dilaporkan.

Perkara itu tidak diambil berat syarikat industri atau majikan, sedangkan ia boleh mendatangkan banyak kesan buruk kepada semua pihak termasuk penyakit yang tidak boleh diubati.

Menyedari masalah itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu memperkenalkan Systematic Occupational Health Enhancemebt Level Programme (soHelp) untuk meningkatkan tahap pengurusan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Pengarah JKKP negeri, Ir Dasuki Mohd Heak berkata, soHelp adalah program jangka sederhana disasarkan untuk memberi pendedahan mengenai pengurusan kesihatan pekerjaan khususnya dalam aspek pengurusan kimia, ergonomik dan bunyi bising.

Menurutnya, JKKP merancang program sistematik untuk meningkatkan tahap kesihatan pekerjaan di tempat kerja yang mempunyai ciri berimpak tinggi, mudah dilaksanakan, kos rendah, boleh dilaksanakan di semua jenis industri dan berfokus kepada tempat kerja yang berisiko tinggi.

“Kesihatan pekerjaan berbeza dengan kesihatan atau penyakit awam. Biasanya kesan penyakit pekerjaan untuk jangka panjang iaitu antara 10 hingga 15 tahun.

“Kesannya tidak boleh diubati contohnya pendedahan terhadap bunyi bising di tempat kerja secara melampau yang menyebabkan masalah pendengaran. Sebab itulah JKKP mementingkan kawalan pencegahan. Bagi mencegah pekerja ditimpa penyakit pekerjaan, majikan wajib membuat kawalan supaya pekerjanya tidak terjejas.

“Hasil aktiviti penguatkuasaan JKKP mendapati kebanyakan industri kurang memberi penekanan mengenai kesihatan pekerjaan dan kurang kesedaran. Walaupun penyakit disebabkan penyakit pekerjaan tidak membimbangkan di Terengganu, tetapi tidak boleh dibiarkan. Tidak dinafikan terdapat kes-kes penyakit pekerjaan tidak dilaporkan dan pekerjaan tidak mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup soHelp Fasa 1 dan sesi dialog bersama Occupational Health Doctor (OHD) Peringkat Zon Pantai Timur 2017 di Hotel UiTM Dungun, baru-baru ini.

Dasuki berkata, SoHelp yang diadakan di negeri ini membawa impak positif kepada seramai 2,000 pekerja.

“Untuk fasa 1, SoHelp memberi manfaat kepada 15 tempat kerja membabitkan 2,000 pekerja dan 39 ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan. Berdasarkan pencapaian pemantauan aras keseluruhan, sebanyak sembilan tempat kerja mencapai aras lima (cemerlang) dan empat tempat kerja mencapai aras empat (tinggi).

“Program ini juga menghimpunkan OHD dari zon pantai timur yang berfungsi sebagai platform bagi sesi perbincangan, penyaluran maklumat terkini serta bertukar pendapat.

“Kombinasi antara majikan yang prihatin, pekerja produktif, sistem pengurusan KKP yang efektif dan persekitaran kondusif adalah pemangkin kepada peningkatan daya saing industri berganding bahu merealisasikan matlamat pelan induk KKP 2016-2020 untuk membudayakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Tindakan seorang lelaki bergelar Datuk memaksa 172 pekerjanya yang terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing bekerja 17 jam sehari dengan gaji serendah RM200 sebulan sejak setahun lalu terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu premis pemprosesan dan pemasaran burung walit, semalam.
  • KOTA KINABALU - Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diadakan selama sehari di sini mendapat sambutan mengalakkan apabila 2,000 graduan dan penganggur bersaing merebut 600 tawaran pekerjaan dari 10 organisasi terkemuka.
  • TUMPAT - Rakyat Kelantan berpeluang memohon kira-kira 1,000 pekerjaan yang ditawarkan pada Karnival Pekerjaan dan Kemahiran di Pantai Seri Tujoh di sini, hari ini.
  • KUCHING - Kerajaan Sarawak bercadang mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi untuk mengekalkan tenaga kerja muda di negara itu sementara menarik semula mereka yang bekerja di luar negara untuk kembali ke negeri itu, kata Menteri Kedua Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.