KUALA TERENGGANU - [VIDEO] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu hari ini melupuskan pelbagai barang rampasan bernilai kira-kira RM300,000.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, barang itu merupakan hasil rampasan daripada 118 kes yang dilakukan KPDNKK Terengganu sepanjang tahun ini.

Antara barangan yang dilupuskan adalah peralatan komputer, baju dan seluar berjenama tiruan, kasut berjenama tiruan dan CD/DVD cetak rompak.

"Barangan rampasan ini adalah hasil penguatkuasaan dilakukan Seksyen Penguatkuasa KPDNKK negeri dengan kerjasama pemilik-pemilik hakcipta seperti Adidas, Nike dan lain-lain pemilik berdaftar.

"Semua barang rampasan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan oleh jabatan setelah mendapat arahan daripada mahkamah," katanya selepas hadir majlis pelupusan itu di stor penyimpanan KPDNKK di Chendering, pagi ini.

Kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 merupakan antara kes terbanyak dilupuskan manakala nilai barangan rampasan tertinggi di bawah kesalahan Akta Hak Cipta (AHC) 1987 antara nilai tertinggi dilupuskan sepanjang tahun ini.