KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu memberi tempoh sebulan dari sekarang kepada premis untuk memastikan harga yang dipamer ditukar kepada sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, dalam tempoh awal ini, didapati masih ada harga yang diletakkan di rak tidak ditukarkan tetapi peniaga perlu memastikan telah memberi jaminan di kaunter dan pelanggan mendapat resit berlakunya transaksi sifar GST.

Menurutnya, pemeriksaan akan dilaksanakan secara berterusan kerana tidak mahu mana-mana peniaga memanipulasi harga yang telah ditetapkan selepas berlaku perubahan (sifar GST).

"Kepada peniaga yang tidak akur atau manipulasi harga, kita (KPDNKK) akan memberi notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Kita bagi tempoh selama satu bulan untuk mereka memastikan harga-harga di rak ditukar sebab kalau kita perhatikan hari ini (semalam) masih lagi ada di rak-rak harga tidak ditukar.

Replika contoh resit sebelum dan selepas GST dipamerkan di pintu keluar kaunter pasaraya bagi rujukan pelanggan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melakukan Pematuhan Pelaksanaan GST 0% bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu di sebuah pasaraya, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Kastam Diraja Malaysia Terengganu, Datuk Radzi Muhamad.

Shaharuddin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan hari ini, beliau mendapati pasaraya yang diperiksa juga telah mengambil inisiatif membantu pengguna yang mendapatkan barangan di premis mereka terutama terhadap item-item yang sebelum ini dikenakan GST enam peratus, dengan menyediakan kaunter perkhidmatan pelanggan sekiranya terdapat sebarang kemusykilan di pihak pelanggan.

"Usaha-usaha seperti inilah kita minta kepada peniaga lain lakukan juga untuk memastikan tiada pihak yang memanipulasi terhadap perubahan yang telah dilaksanakan sekarang ini," katanya.

Tambahnya lagi, sejak dua minggu lalu, KPDNKK termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu telah melakukan pemeriksaan ke atas 380 premis yang berdaftar dengan Kastam di seluruh negeri secara rawak untuk memeriksa item-item yang dikenakan GST.

Ia bagi memastikan perbandingan harga dapat diperiksa selepas kadar sifar GST bermula semalam dan hari-hari berikutnya.

Menerusi pemeriksaan itu, seramai 93 penguat kuasa terlibat dan dibantu pegawai pemantau harga seramai 63 orang.