KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu menerima empat aduan daripada pengguna sejak pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 September lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, kesemua aduan yang diterima itu dilaporkan di daerah Kuala Terengganu.

Bagaimanapun jelas Saharuddin, sehingga kini belum ada tindakan diambil di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Apa yang boleh kita katakan, jumlah aduan yang diterima kecil sejak sistem (SST) ini dilaksanakan awal bulan ini.

"Kita juga harap pengguna beri kerjasama dengan agensi supaya dapat lapor segera jika ada unsur pencatutan atau penipuan.

"Pengguna juga diingatkan agar menggunakan saluran yang betul sekiranya ingin membuat aduan bagi membolehkan tindakan segera diambil kepada peniaga yang didapati menaikkan harga sesuka hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan pematuhan SST KPDNHEP bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Menurut Saharuddin, pihaknya sentiasa memberi perhatian serius dalam memastikan harga barangan di negeri ini berpatutan demi kesejahteraan pengguna.

"KPDNHEP melalui bahagian penguatkuasaan telah melaksanakan gerak gempur Operasi Catut 5.0 melalui operasi penguatkuasaan ke atas setiap rantaian perniagaan.

"Operasi Catut 5.0 ini juga akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama (JKDM) di bawah bidang kuasa masing-masing," katanya.