KUALA BERANG - Seorang suri rumah maut setelah Perodua Axia dipandu suaminya terbabas di Kilometer 06 Jalan Gaung-Kampung Tajin, petang kelmarin dipercayai berpunca daripada kotak tisu terselit pada pedal brek kereta berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Esah Md Zin, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu yang merupakan seorang peneroka Felda Jerangau, Abd Wahab Salleh, 70, hanya mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dari arah Kampung Tajin ke Kampung Gaung gagal mengawal kenderaan.

“Pemandu kenderaan dipercayai gagal membrek kerana terdapat kotak tisu pada pedal brek kereta tersebut sebelum terbabas.

"Berikutan daripada itu penumpang kenderaan (mangsa) mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

"Kawasan lokasi melibatkan jalan berselekoh, satu lorong dua hala dengan garisan tengah berkembar berturap tar, keadaan cuaca ketika kejadian juga cerah.

“Polis ingin menasihatkan orang ramai sentiasa peka kepada aspek keselamatan semasa memandu termasuk memastikan tiada sebarang objek di bawah tempat duduk pemandu yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan wanita maut manakala seorang lagi lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM53.2 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat dekat Pontian, petang tadi.
  • LUNDU - Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Sampadi-Lundu di sini pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.