KUALA TERENGGANU – Ibadah korban seekor lembu baka Charolais seberat 1.2 tan di perkarangan Masjid Makmur, Kampung Losong Dato’ Amar, hari ini menarik perhatian kira-kira 1000 penduduk.

Selain penduduk setempat, masyarakat luar Terengganu juga turut teruja menyaksikan ibadah korban lembu itu setelah mendapat maklumat mengenainya menerusi laman sosial facebook dan instagram.

Pengerusi Badan Ukhuwah Darul Iman, Zul Fadzli Hassan berkata, lembu berusia tiga tahun itu dibeli daripada pemiliknya di Kampung Pak Madah, Bukit Payong dengan harga RM14,000 bagi urusan ibadah korban untuk diagihkan kepada fakir miskin dan penduduk setempat.

“Setakat ini, lembu ini dikatakan sebagai lembu korban terbesar yang terlibat dalam ibadah korban di negara ini.

“Lembu ini sampai seminggu lalu. Sejak itu orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke sini untuk melihat sendiri lembu ini. Sifat lembu ini yang jinak menarik perhatian ramai sehingga kanak-kanak pun boleh menunggang lembu ini,” katanya.

Menurut Zul Fadzli, ini kali kedua pihaknya menunaikan ibadah korban menggunakan lembu baka ini selepas 2016 yang mana saiznya agak kecil sedikit kira-kira satu tan.

“Pada 2017 pula, hajat kita tak kesampaian untuk beli lembu baka sama kerana tidak menemui yang sesuai dan menepati syarat ibadah korban.

Zul Fadzili berkata, beliau bersyukur kerana tahun ini berjaya menemukan baka yang dicari sekali gus dapat memberi manfaat kepada golongan fakir miskin dan penduduk kampung.

“Inshaa-ALLAH, tahun depan jemaah kita akan berusaha mencari baka lembu sama untuk dibuat korban kerana kita mahu berikan yang terbaik untuk sama-sama mendapat manfaat seterusnya beroleh pahala sebagai bekalan di akhirat,” katanya.