KAMPUNG MATANG - Biarpun nafasnya sendiri tercungap-cungap kepenatan, namun tidak pernah mematahkan semangat seorang ibu untuk mendukung anaknya ke sekolah setiap hari supaya permata hatinya itu tidak tercicir dalam pelajaran.

Rohaya Ismail, 29, juga perlu berulang-alik ke Sekolah Kebangsaan (SK) Matang bagi menguruskan anaknya, Muhammad Zakry Aminudin Zanfori, 11, yang kurang upaya untuk berjalan berikutan menghadapi masalah saraf sejak kecil.

Anak sulung alami masalah saraf  di kaki

Berkongsi cerita, ibu tiga anak itu berkata, rutin hariannya sejak hampir lima tahun lalu banyak dihabiskan di sekolah kerana anak sulungnya perlu didukung dan dibantu terutama pada waktu rehat atau untuk ke bilik air.

“Anak saya dilahirkan kembar, tapi adik kembarnya (Muhammad Zakry Amirudin) normal. Cuma Amin ditakdirkan kurang upaya akibat masalah saraf di kaki, selain tangan kiri  tidak begitu kuat.

“Setiap hari saya perlu dukung dia untuk berulang-alik ke sekolah. Ketika di tahun satu hingga tiga dulu, kelasnya terletak di tingkat dua. Walaupun penat, saya perlu dukung dia turun naik tangga hingga ke dalam kelas, kadang-kadang cikgu termasuk guru besar yang dukung. Syukurlah ketika di tahun empat, kelasnya di tingkat bawah hasil keprihatinan pentadbiran sekolah.

"Saya tersentuh melihat kekurangannya, tetapi dia tetap bersemangat ke sekolah. Sikapnya itu mengatasi adik kembarnya. Semangat itu jugalah memberikan saya kekuatan untuk terus dukung dia ke sekolah,” katanya.

Sumbangan Adun ringan beban

Menurutnya, walaupun anaknya itu semakin membesar dengan berat 23 kilogram, namun tidak sedikit mematahkan semangatnya kerana kasih sayang sebagai ibu memberi kekuatan tersendiri untuk dia terus mendukung Amin.

Katanya, sejak tiga tahun lalu, Amin juga tidak pernah lupa membawa 'bekal' alat bantu jalan ke sekolah bagi memudahkan pergerakannya, yang diperoleh hasil sumbangan Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat.

“Suami (Zanfori Mohamad, 39) cuma kerja kampung. Suatu hari ketika ke bandar Kuala Berang, saya nampak alat bantu jalan ini dan mahu beli untuk Amin, tetapi hasrat itu dipendamkan sebab harga mencecah ratusan ringgit. Demi anak, saya memaklumkan kepada Pejabat Dun Telemong untuk meminta bantuan bagi mendapatkan alat tersebut.

"Alhamdulillah, tidak lama kemudian keinginan saya tercapai. Biarpun penggunaan di sekolah agak terhad atas faktor keselamatan, tapi dia boleh guna alat tersebut di rumah untuk bergerak. Tapi alat tersebut sudah lama, pernah patah beberapa kali, mujurlah Amin tidak cedera,” katanya.

Sensitif jika ditanya keadaan diri

Bercerita lanjut, Rohaya berkata, dia mula menyedari keadaan anaknya itu ketika menjangkau usia 2 tahun.

Menurutnya, ketika itu Amin belum dapat berjalan, sedangkan adik kembarnya sudah boleh berjalan sewaktu usia menginjak setahun lebih.

"Biarpun Amin agak pendiam berbanding Amirudin, tapi dia murah dengan senyuman. Tapi soalan berkaitan keadaannya begitu sensitif buat Amin hingga menyebabkan dia akan bersedih dan rendah diri," katanya.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.