KUALA TERENGGANU – Masjid Abidin (masjid negeri) mensasarkan 150 ekor lembu yang bakal dikorbankan dan diagih sempena Program Jaulah Aidiladha 2018 pada 23 hingga 28 Ogos ini di Maahad Darussalam Rakaporam Kemboja.

Imam Besar Negeri, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, program berkenaan memasuki tahun ke 10 penganjuran ibadah korban dan akikah yang turut membawa bersama sedikit sumbangan seperti pakaian, alatan beribadah dan bantuan kewangan bagi memastikan keperluan kehidupan harian penduduk di sana (orang Islam) mencukupi dan selesa.

Menurutnya, sempena penganjuran itu, Aizi mengajak rakyat Malaysia termasuk di Terengganu yang berminat menyertai ibadah korban dan akikah di Kemboja pada tahun ini, menghubungi pihak masjid untuk melancarkan lagi perintah ALLAH SWT itu.

“Harga bagi satu bahagian lembu hanyalah RM260 manakala bagi seekor lembu pula ialah RM1,820 sahaja dan harga itu termasuk kos pengurusan dan penyelenggaraan.

“Masyarakat Islam di sana (Kemboja) hanya dapat makan daging segar pada bulan Zulhijjah sahaja dan stok daging yang dibahagi dan disumbang oleh rakyat Malaysia ini, mereka simpan selepas menyalai daging itu di tengah panas dan setelah kering, mereka akan simpan di dalam bekas khas bagi keperluan hari-hari mendatang sebelum memasuki Zulhijjah berikutnya,” katanya kepada Sinar Harian dan beliau sendiri akan mengikuti program ibadah dan akikah di Kemboja kali ini.

Aizi berkata, orang ramai boleh menghubungi pihak masjid di talian 09-6231771 atau Pegawai Masjid Abidin, Ustaz Haikal, 013-9976404 untuk sebarang pertanyaan berhubung ibadah korban dan akikah itu.