HULU TERENGGANU - Komuniti diharapkan tidak terlalu berkira atau bersifat materialistik dengan mengharapkan elaun semata-mata dalam usaha menjaga keamanan di taman perumahan dan kampung masing-masing.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu (JPNINT), Burhanuddin Daud berkata ia perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama sekaligus semarakkan lagi semangat sukarelawan.

"Masyarakat ada kalanya materialistik, apabila tiada gaji dan elaun mereka tidak melibatkan diri. Namun di Tok Randok ini, kita lihat situasi berbeza kerana adanya pertambahan anggota samada usia 30-an hingga 60-an.

"Peranan serta tanggungjawab KRT dan SRS cukup penting. SRS ditubuhkan bukan untuk menjadikan  komuniti sebagai  'pok guard' tetapi penubuhannya dengan roh dan matlamat supaya jiran tetangga saling mengenali.

"Kita mengenali semua jiran tetangga yang ada di kampung atau di kawasan KRT.  Apabila kenal, mudah bagi kita untuk atasi masalah sosial serta kekang jenayah, adanya SRS jenayah dapat dikurangkan.

"Perkara ini telah dibuktikan berdasarkan beberapa tangkapan berjaya dilakukan SRS. Mengambil contoh di bandar besar, apabila tidak kenal jiran tetangga, mudah bagi penjenayah angkut barang curi jam 2 pagi tanpa disyaki," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada

Majlis Perasmian Pusat Kawalan SRS Kampung Tok Randok, di sini, disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Dr Md Farid Md Rafik.

Turut hadir, Adun Ajil, Maliaman Kassim serta Pengerusi KRT Tok Randok, Mejar (B) Abd Aziz Mamat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga turut mengharapkan golongan wanita dapat mainkan peranan dengan salurkan maklumat tertentu terutamanya sewaktu komuniti lelaki keluar berkerja.

"Apabila ada kenderaan mencurigakan dilihat di kawasan kampung atau taman perumahan, wanita khususnya surirumah boleh maklumkan kepada anggota SRS sebagai langkah keselamatan.

"Kita mempunyai 488 SRS seluruh Terengganu dan kita juga harapkan semuanya dapat bergerak aktif. Pusat kawalan SRS jangan dibiarkan jadi 'gajah putih'," ujarnya.