KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bakal membina sebanyak 710 unit Rumah Mampu Milik (RMM) tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Empat lokasi dikenal pasti untuk fasa pertama iaitu di Kampung Tempinis (Besut); Kampung Tok Jembal (Kuala Nerus); Kampung Gong Cengal (Kemaman) dan Kampung Tajin (Hulu Terengganu).

“Projek ini telah diluluskan pada mesyuarat exco dan pembinaannya akan dimulakan pada November ini oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

“Ini adalah komitmen kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban rakyat dan sebagai memenuhi janji Pas pada PRU14 untuk membina 20,000 unit RMM dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melakukan penambahbaikan dengan menambah ruang garaj kereta demi keselesaan dan kemudahan rakyat tanpa menaikkan harga rumah.

Walaupun ada garaj, harga rumah tetap sama iaitu RM68,000. Kos asal rumah itu sekitar RM150,000 hingga RM180,000 bagi seunit RMM sebelum ia disubsidikan kepada rakyat. - Bernama