TANJUNG GELAM - “Setiap kali musim tengkujuh, kami sekeluarga hanya mampu berdoa agar semua selamat dan kediaman kami tidak dihanyutkan ombak. Namun dari tahun ke tahun, masalah hakisan pantai kian kritikal terutama sejak dua tahun kebelakangan ini.”

Demikian kata seorang ibu tunggal, Maizun Embong, 64, yang terpaksa berjalan menggunakan tongkat akibat sakit saraf.

Maizun bersama seorang anak dan dua cucu mengakui kediamannya di Kampung Tanjung Gelam bakal ranap jika tiada langkah pencegahan segera untuk menangani masalah hakisan pantai di sekitar Mengabang Telipot.

“Setiap tahun kena lalui benda sama. Saya tak tahu nak cakap apa lagi sebab masalah ini makin serius dan seolah-olah tiada penyelesaian.

“Dulu jarak rumah dengan pantai kira-kira dua kilometer, tapi sekarang jaraknya 100 meter sahaja. Apabila tiba musim tengkujuh, air laut boleh sampai ke bahagian beranda rumah sehingga merosakkan cat, tingkap dan lantai.

“Ketika itu saya bersama ahli keluarga lain hanya mampu berdoa agar kami diselamatkan. Boleh dikatakan kami sudah lali dan hanya mampu berdoa tiap kali musim tengkujuh.

“Tidak dinafikan ada tindakan daripada pihak berkaitan, tetapi setakat ini tidak menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, benteng pemecah ombak yang dibuat juga sudah terhakis menyebabkan pagar rumah lenyap ditelan ombak,” katanya.

Jelas Maizun lagi, dia kerugian hampir RM30,000 selepas bahagian belakang rumah termasuk pagar dan kolam renang rosak akibat hakisan pantai yang semakin kritikal serta ombak besar.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membuat benteng pemecah ombak bagi mengelak hakisan terus berlaku,” katanya.

Maizun adalah antara puluhan keluarga dibelenggu masalah hakisan di pantai Mengabang Telipot, membabitkan penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Tanjung Gelam, Kampung Tengah dan Kampung Kolam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Kesemua guru dari sekolah tiga pulau di daerah ini telah selamat menaiki kapal milik Jabatan Laut, Kapal OSR (Oil Spill and Response) Al Nilam kira-kira jam 10.30 pagi ini setelah terkandas sejak 29 Disember lalu susulan fenomena ombak besar.
  • MERSING - Guru-guru bagi empat buah sekolah di pulau di sini yang terkandas di tanah besar sejak kelmarin masih tidak dapat menaiki bot menuju ke sekolah masing-masing susulan amaran angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia, awal pagi ini.
  • MERSING - Semua guru bagi empat pulau dekat sini masih menanti kebenaran dari Jabatan Laut untuk merentasi laut menuju ke sekolah masing-masing ekoran fenomena ombak besar.
  • PASIR GUDANG - Empat buah sekolah di negeri ini tidak dapat dibuka pada sesi persekolahan 2017 yang bermula hari ini susulan fenomena ombak besar.