KUALA TERENGGANU – Tidak semua pemandu perkhidmatan kereta sewa, GrabCar, terdiri dalam kalangan perogol atau individu yang terlibat dalam jenayah, kerana maklumat lengkap mengenai mereka ada disimpan dan boleh dipamerkan melalui aplikasi yang disediakan perkhidmatan tersebut.

Pemandu Grabcar, Mohd Kamaruzaman Mahmud, 32, berkata, GrabCar Kuala Terengganu yang telah beroperasi sejak dua bulan lalu, di sini, kini telah mempunyai seramai 400 pemandu dengan 20 pemandu wanita.

Menurutnya, perkhidmatan itu mendapat sambutan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini serta mereka yang telah memuat turun aplikasi perkhidmatan itu di telefon pintar masing-masing.

“Perkhidmatan ini sebenarnya selamat kerana pelanggan boleh memilih pemandu dan maklumat mengenai pemandu ada dipamerkan melalui aplikasi itu termasuk nama, nombor telefon dan nombor kereta.

“Perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam setiap hari. Ia selamat kerana pelanggan boleh mendapat maklumat secara terus mengenai pemandu GrabCar yang telah ditempah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes seorang peniaga atas talian di Serdang yang didakwa dirogol pemandu GrabCar ketika menggunakan perkhidmatan itu pada program Penyampaian Apron Grabcar kepada peniaga Bazar Ramadan di Dataran Shahbandar, di sini.

Menurut Mohd Kamaruzaman, hampir 80 peratus pelanggan perhidmatan GrabCar Kuala Terengganu terdiri dalam kalangan pelancong.

“Berdasarkan tinjauan juga, 90 peratus pengguna GrabCar adalah terdiri dalam kalangan orang luar. Warga tempatan masih kurang menggunakan perkhidmatan ini walaupun perkhidmatan ini beroperasi selama 24 jam.

“Pemandu yang terdekat dengan lokasi pelanggan akan lebih cepat memberikan perkhidmatan itu, ia menjimatkan masa sekali gus mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan soal parkir kenderaan setelah sampai ke destinasi,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkhidmatan GrabCar Kuala Terengganu sempena Aidilfitri ini, katanya, ia bergantung kepada pemandu sama ada ingin menjalankan perkhidmatan itu atau bercuti pada hari berkenaan.

“Kita akan menyediakan perkhidmatan pemanduan dan penghantaran bagi pelanggan yang memerlukan perkhidmatan itu sempena Aidilfitri ini, namun, bergantung kepada pemandu sendiri kerana mereka boleh online dan boleh offline.

“Bagaimanapun, perkhidmatan GrabCar ini mempunyai banyak kelebihan yang hanya boleh dirasai sendiri oleh pelanggan yang telah menggunakan perkhidmatan ini,” katanya

Pada program berkenaan, sebanyak 200 apron diagihkan kepada seluruh peniaga di bazar Ramadan tersebut bagi tujuan memperkenalkan perkhidmatan GrabCar kepada warga negeri ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDARAYA MELAKA - Masih ramai kalangan pemandu Uber dan GrabCar yang keliru untuk mendaftar Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
  • KUBANG PASU - Perkhidmatan GrabCar bukan lagi sesuatu yang baharu dalam kalangan masyarakat kita terutamanya di kawasan bandar.
  • JASIN - Usia muda bukan penghalang buat seorang gadis di sini mencari pendapatan sampingan dengan mengusahakan girlcab yang mengambil penumpang wanita sahaja.
  • JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dijangka mengumumkan butiran lanjut mengenai sistem perkhidmatan Uber dan Grab Car minggu depan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.