KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Seramai 7,758 orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke bawah di negeri ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sejak Januari hingga Oktober 2018.

Berdasarkan jumlah itu, OKU masalah pembelajaran mencatatkan angka tertinggi iaitu 5,721 orang manakala OKU mental mencatatkan angka terendah dengan hanya empat orang.

Isteri Yang Dipertua Speaker Dun Negeri, Zarani Othman berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan jumlah OKU tertinggi iaitu 2,368 orang manakala daerah Setiu mencatatkan jumlah OKU paling sedikit dengan jumlah 555 orang yang berdaftar.

“Isu berkaitan anak-anak berkeperluan khas ini perlu diambil berat bagi membantu mereka melayari kehidupan apabila dewasa nanti di samping mendorong kecenderungan mereka dalam pelbagai bidang seperti sukan dan sebagainya.

“Pengesanan awal terhadap kelainan upaya anak-anak perlu disegerakan apabila ibu bapa merasakan ada kelainan yang wujud pada fizikal, emosi dan sosial serta tingkahlaku anak-anak.

Katanya pada Program Ilmu Keluarga@LPPKN 'Anak Istimewa Satu Anugerah' sempena Program Terengganu Parenting Tour (Tepat) 2018, di Wisma Darul Iman, di sini.

Zarani berkata, pengesanan awal perubahan yang berlaku kepada anak-anak dapat membantu merawat dan memulihkan masalah anak istimewa itu dengan kadar segera.

Dalam masa sama Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) turut diwujudkan dan kira-kira 47 PDK beroperasi di Terengganu dalam usaha membantu 1,140 klien di PDK serta 405 klien di rumah dengan menyediakan pelbagai aktiviti.

“Aktiviti yang dilakukan adalah seperti kemahiran fizikal, perkembangan sosial dan bahasa, pengurusan kendiri, kemahiran pembelajaran asas permainan kreativiti, latihan vokasional, terapi muzik, sukan dan rekreasi dan sebagainya,” katanya.

PDK juga menjadi One Stop Centre yang diwujudkan JKM dengan kemudahan infrastruktur serta program pemulihan untuk kanak kanak atau OKU turut berperanan sebagai tempat intervensi awal, sumber maklumat, pusat rujukan dan advokasi program-program berkaitan bagi golongan OKU.

Sementara itu, program yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu memfokuskan anak-anak autisme, disleksia dan sindrom down untuk mendedahkan pengetahuan kepada ibu bapa tentang fitrah anak istimewa di samping berkongsi tips menguruskan golongan itu dengan lebih baik di rumah.