KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu meningkatkan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berikutan tragedi pembunuhan terhadap seorang lelaki Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, walaupun pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu tidak berlaku di Terengganu, pihaknya tidak mahu mengambil mudah terhadap kawalan keselamatan di negeri ini.

Menurutnya, ia bukan hanya melibatkan LTSM, malah kawasan sekitar serta tempat-tempat tumpuan orang ramai memandangkan Terengganu turut menjadi tumpuan sepanjang tahun sempena Visit Beautiful Terengganu (VBT) 2017.

“Kita akan meningkatkan rondaan di kawasan orang ramai berkumpul, dalam program VBT, dalam kawasan LTSM dan kawasan bandar terutama kompleks perniagaan Paya Bunga kerana itu juga merupakan tempat orang berkumpul, kawasan peranginan di Batu Burok, Tok Jembal dan juga kawasan peranginan lain kerana kita tidak mahu ada orang tertentu yang mungkin akan mengambil peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian sempena kayuhan ‘Fun Ride Promosi LTDL 2017’ anjuran PDRM Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini.

Rosli berkata, pihaknya hanya menugaskan pegawai dan anggota dalaman sahaja buat masa ini kerana mengambil kira situasi semasa di Terengganu.

“Kita rasa setakat yang ada mencukupi untuk kita buat peningkatan dan pengawalan terhadap tempat-tempat yang saya katakan tadi,” katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT BERUANG - Polis negeri Melaka akan meningkatkan kawalan keselamatan bukan sahaja di kawasan tumpuan pelancong malah kawasan tumpuan ramai seperti rumah ibadat termasuk masjid, kuil dan gereja.